PM sedia beri pertimbangan khas kepada KBS, tambah peruntukan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi pertimbangan khas kepada Kementerian Belia dan Sukan termasuk menambah peruntukan dalam usaha melonjakkan industri sukan negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun negara berdepan kekangan kewangan ketika ini namun wajar memberi pertimbangan kepada perkara sedemikian terutama yang berkaitan dengan temasya Olimpik Paris 2024 seperti Program Podium dan Road To Gold.

"Seluruh Jemaah Menteri Kerajaan Madani beri perhatian dalam satu bidang yang penting kepada rakyat khususnya sukan.

"Saya beri jaminan seandainya ada peluang ada keperluan boleh diangkat dalam kekangan ekonomi, saya tetap beri pertimbangan khas untuk melonjakkan kegiatan sukan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Anwar berkata, industri sukan negara perlu dipertingkat dan diperluas kerana ia boleh menyatupadukan seluruh rakyat.

"Ia memberi manfaat kepada negara kerana sesuatu aktiviti sukan itu tidak memisahkan antara kelompok biasa, mereka yang di bandar, di pedalaman malah kaum atau agama kerana daripada satu minat dan didukung sebagai satu pasukan, yang melahirkan kecintaan kepada negara.

"Fahaman kita, dunia olahraga ini dunia yang boleh menyatukan kita," katanya sambil menambah beliau juga sedia memberi pertimbangan kepada semua pihak termasuk persatuan sukan negara bagi memperkasakan industri itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Majlis Anugerah Sukan Negara 2023, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada semua atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Malam ini kita tentunya memberi perhatian dari sudut pengiktirafan kepada anak-anak kita yang telah mencatat kejayaan luar biasa.

"Namun tidak harus dilupakan juga bahawa dalam kejayaan ini adalah kerja pasukan kementerian, keluarganya, persatuan sukan serta masyarakat yang memberi semangat dan mendorong mereka," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!