Saya tidak berhenti tapi dipecat Bersatu - MP Bukit Gantang

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan beliau kekal sebagai ahli Parlimen walaupun diberi notis terhenti keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Syed Abu Hussin berkata, beliau telah menerima satu notis pemberitahuan daripada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memaklumkan namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti.

Menurutnya, merujuk kepada perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa kerusi seseorang ahli Parlimen kosong jika setelah dipilih ke dewan rakyat sebagai anggota suatu parti politik, mereka melepaskan keanggotaan parti.

“Seterusnya, kerusi juga akan kosong jika dia (ahli Parlimen) tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau setelah dipilih ke dewan rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik atau dia menyertai satu parti politik sebagai anggota.

“Perlembagaan Persekutuan secara khusus merujuk ketiga-tiga syarat pengosongan kerusi dewan rakyat itu menggunakan perkataan ‘dia’ yang merujuk kepada tindakan atau pengumuman seseorang ahli Parlimen dan bukan tindakan atau pengumuman pihak ketiga.

“Ahli dewan rakyat itu sahaja yang berhak membuat pengisytiharan sama ada melepaskan keanggotan atau mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi menjadi anggota parti itu. Saya tidak berhenti tetapi saya dipecat oleh parti maka saya masih ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, notis terhenti keahlian serta-merta sudah diserahkan kepada enam wakil rakyat Bersatu yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan Parti.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, penyerahan notis yang dibuat hari ini selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, Perkara 49A(2)(c) yang memaklumkan kedudukan ahli Parlimen tidak akan terjejas jika pemecatan daripada keanggotaan dalam parti politik.

“Perkara 49A(2)(c) jelas memaklumkan kedudukan selaku ahli Dewan Rakyat tidak terhenti walaupun Bersatu memecat saya mengeluarkan nama saya daripada senarai keahlian Bersatu.

“Pindaan Perlembagaan Bersatu yang sengaja dibuat untuk memecat keahlian saya itu mempunyai unsur berniat jahat serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu dengan jelas dan konsisten bahawa dirinya sentiasa ahli Bersatu.

Tambah Syed Abu Hussin, beliau menyokong tujuan dan matlamat parti itu dalam menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperkasa agenda memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Di samping itu, memperjuangkan keadilan sosial, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

“Oleh itu, saya akan menyokong mana-mana pihak yang menyokong tujuan dan matlamat Bersatu ini termasuk pihak komponen Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan. Ini termasuk usaha-usaha membantu kawasan Parlimen saya, bagi membolehkan rakyat di kawasan saya mendapat bantuan kebajikan.

“Contohnya, pembiayaan projek membuat jalan, pembangunan kemudahan infrastruktur, mengadakan program komuniti dalam masyarakat dan memberi bantuan untuk pesakit serta agihan makanan kepada golongan memerlukan, membuat persiapan banjir dan pengurusan pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!