Joohari mahu jadi calon berakhlak, elak merendahkan pihak lain

Joohari Ariffin
Joohari Ariffin
A
A
A

NIBONG TEBAL - Calon Perpaduan, Dr Joohari Ariffin bertekad akan menjadi seorang calon yang berakhlak dan beradab sepanjang berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Anak jati Sungai Bakap itu berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk tidak merendahkan pihak lain dalam siri kempennya nanti.

"Saya seorang pendidik dan bercita-cita untuk menjadikan semua anak didik saya mempunyai akhlak, pemikiran dan cara berfikir dengan baik. Itu yang saya akan tekankan supaya kita menjadi orang yang baik.

"Jadi saya juga akan pastikan selepas dilantik ini, saya cuba menjadi seorang calon yang baik. Ini kerana, kita perlu menjaga akhlak dalam sebarang pekerjaan yang kita laksanakan.

"Oleh itu, sebarang usaha yang ke arah nak merendahkan pihak lain, saya cuba jaga dan elakkan, insya-ALLAH. Saya juga berharap itu akan berlaku kepada orang lain selain daripada saya sebagai seorang calon," katanya.

Beliau yang merupakan calon dari Parti Keadilan Rakyat itu ditemui pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap di Simpang Ampat di sini, pada malam Rabu.

Bekas guru itu menambah, beliau akan cuba memikul sedaya upaya amanah yang diberikan kepadanya sebagai calon Perpaduan Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

"Mulai sekarang, saya kena kerja sebab apabila orang bagi satu kepercayaan, amanah kepada saya, saya rasa mesti ada sebab. Dulu saya bersara sebab nak berehat, tetapi rupa-rupanya saya memulakan satu karier yang baru.

Artikel Berkaitan:

"Kepercayaan ini saya kena ambil sebagai satu tanggungjawab. Amanah ini, insya-ALLAH saya cuba pikul. 'Track record' saya sebelum ini, tiada masalah. Jika dipilih menjadi wakil rakyat nanti, saya harap tak ada masalah.

"Sebelum ini saya bekerja cuma jika dipilih menjadi wakil rakyat, saya akan kekalkan prestasi, cuma bidang saya itu lebih kepada rakyat," katanya.

Ditanya keyakinannya untuk menang, Joohari berkata, kepimpinan perlu selari dengan pengikut yang sentiasa memberi sokongan padu sebagai suntikan kepada calon bertanding.

"Kita kena yakin (menang), tetapi saya percaya bahawa kepimpinan ini, ia bukan boleh berdiri sendiri. Ia juga bergantung kepada pengikut. Kepimpinan dan pengikut mesti serentak.

"Oleh itu, untuk memastikan saya berjaya, pengikut kena beri sokongan yang cukup padu. Pastikan pengikut-pengikut memberi motivasi.

"Seperti malam ini, bila kita hadir ramai seperti ini, saya boleh rasa mereka memberi satu semangat kepada saya.

"Walaupun ini satu bidang baru bagi saya, namun dengan kehadiran yang ramai seperti ini, saya rasa semakin termotivasi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!