PRK Sungai Bakap: Calon Kerajaan Perpaduan diumumkan esok

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan akan diumumkan secara rasmi pada Rabu.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, calon tersebut dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia melibatkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Selasa.

"Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan telah pun dimuktamadkan dan akan diumumkan secara rasmi pada jam 9 malam 12 Jun 2024.

"Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Rafizi Ramli dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan.

"Pengerusi Operasi Bersama PRK DUN Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang memutuskan calon dari PKR akan bertanding mewakili gabungan itu dalam PRK kali ini.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!