Jasa Sallehuddin terhadap perkembangan pengajian al-Quran di Malaysia

Hasil usaha gigih bekas Pengetua Darul Quran, Datuk Sallehuddin Omar (gambar kecil) akhirnya pusat pengajian al-Quran itu mendapat pengiktirafan daripada sijil tahfiz kepada diploma tahfiz.
Hasil usaha gigih bekas Pengetua Darul Quran, Datuk Sallehuddin Omar (gambar kecil) akhirnya pusat pengajian al-Quran itu mendapat pengiktirafan daripada sijil tahfiz kepada diploma tahfiz.
A
A
A

Pengajian al-Quran di Malaysia dilihat semakin berkembang dan terus mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan Masyarakat. Ramai ibu bapa mengambil inisiatif dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tahfiz, sama ada secara sepenuh masa ataupun separuh masa (program cuti sekolah).

Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan al-Quran menjadi salah satu faktor utama yang mendorong perkembangan pengajian al-Quran di Malaysia.

Sejarah perkembangan pendidikan al-Quran di Malaysia juga berlaku hasil daripada cetusan idea Perdana Menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, beliau telah memberi sumbangan idea terhadap penubuhan Maahad Tahfiz Wal Qiraat atau sekarang ini dikenali sebagai Darul Quran.

Penubuhan tersebut telah menjadi satu titik permulaan penting terhadap perkembangan pusat pendidikan tahfiz al-Quran keseluruh negeri di Malaysia.

Darul Quran dilihat terus menunjukkan perkembangannya dari masa ke semasa, sehingga Datuk Sallehudin Omar dilantik sebagai pengetua Darul Quran bermula tahun 1980-1983.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai pengetua, banyak sumbangan dan pembaharuan yang beliau laksanakan terhadap sistem tahfiz al-Quran, salah satunya adalah pengiktirafan sijil tahfiz kepada diploma tahfiz.

Biodata dan latar belakang pendidikan

Pada tahun 1945, seorang tokoh telah dilahirkan iaitu Dato Sallehudin bin Omar. Beliau berasal dari Kampung Sepat, Kuala Penor Kuantan Pahang. Sejak usia muda lagi beliau telah menunjukkan minat terhadap ilmu agama khususnya berkaitan ilmu al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Minat dan cinta beliau terhadap ilmu al-Quran telah mendorong beliau untuk mencari guru yang boleh mengajar dan membimbingnya. Pada peringkat awal pendidikan, beliau berguru dengan seorang guru al-Quran iaitu Tuan Haji Pok Cu Mat. Kemudian di peringkat sekolah rendah, beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Kual Penor dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Lumpur.

Di peringkat sekolah menengah pula, beliau belajar di Kuliah al-Lughah Waddin as-Sultan Abu Bakar. Ketika usia awal 20an, disebabkan minat beliau terhadap al-Quran semakin kuat, beliau meneruskan langkah dengan memasuki Mahad Tahfiz Wal Qiraat.

Beliau salah seorang wakil anak Pahang yang berjaya dalam ujian temuduga pengambilan tersebut. Di Maahad Tahfiz, beliau menghabiskan masanya di sana selama tiga tahun sehingga berjaya memperoleh sijil tahfiz.

Kemudian, beliau meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang syariah. Sepanjang tempoh belajar di Universiti al-Azhar, beliau mengambil peluang bertalaqqi al-Quran dengan beberapa guru, salah seorangnya adalah Syeikh Ibrahim Atwa. Pada 1976, beliau berjaya menamatkan pengajian beliau dan memperolehi ijazah dalam bidang Syariah.

Melihat kepada perjalanan pendidikan Sallehudin, beliau seorang yang sangat mencintai ilmu al-Quran, di mana sejak usia muda lagi beliau telah menunjukkan kesungguhan dan ketekunan untuk lebih menguasai ilmu al-Quran dengan lebih mendalam.

Sallehuddin (duduk, tengah) antara tokoh yang berjasa besar dalam menaik taraf pengajian al-Quran dan pengajian tahfiz di negara ini. FOTO: ABU NUHA CORNER
Sallehuddin (duduk, tengah) antara tokoh yang berjasa besar dalam menaik taraf pengajian al-Quran dan pengajian tahfiz di negara ini. FOTO: ABU NUHA CORNER

Setiap manusia mempunyai kecenderungan masing-masing dan boleh dikatakan kecenderungan beliau lebih terarah ke bidang al-Quran dan Qiraat.

Demi merealisasikan impian beliau dalam bidang al-Quran, banyak masa telah digunakan dengan bertalaqi dengan beberapa tuan guru yang mempunyai sanad bersambung sehingga Rasulullah SAW.

Pengiktirafan sijil tahfiz kepada diploma tahfiz

Salah satu sumbangan Sallehudin dalam pembangunan pengajian al-Quran di Malaysia adalah mewujudkan satu cadangan supaya menaikkan taraf sijil tahfiz ke diploma. Beliau telah bertemu dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meluluskan permohonan pengiktirafan peperiksaan tahfiz peringkat diploma, dan pada masa yang sama beliau telah dibantu oleh Tan Sri Elyas Omar yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah JPA ketika itu supaya proses permohonan berjalan dengan lancar.

Permohonan pengiktirafan tersebut akhirnya berjaya diluluskan oleh JPA dan bersetuju mengurniakan sijil diploma kepada pelajar Maahad Tahfiz Wal Qiraat yang berjaya menamatkan peperiksaan akhir.

Pengiktirafan sijil diploma ini secara tidak langsung dapat memberikan semangat kepada para pelajar untuk meneruskan perjuangan mereka dalam menghafal al-Quran dan setelah tamat pengajian mereka boleh menyambung pelajaran di IPTA.

Oleh itu, Sallehudin boleh dilihat sebagai seorang tokoh yang berjasa dan berhak diberi penghormatan serta penghargaan atas usahanya dalam meningkatkan pembangunan pengajian al-Quran di Malaysia.

Hasil sumbangan beliau dalam bidang al-Quran ini semestinya telah membuka peluang kepada masyarakat khususnya anak-anak yang berminat ingin mempelajari pengajian al-Quran.

Usaha beliau dalam mendapatkan pengiktirafan sijil diploma tahfiz sememangnya dapat menghargai para huffaz yang bertungkus lumus menghabiskan hafalan al-Quran.

Justeru, sumbangan yang diberikan beliau adalah sangat besar dan bermakna khususnya dalam membantu mengembangkan pengajian al-Quran di Malaysia.

PROF DR ROSLAN MOHD NOR & MUHAMMAD RIDHUAN BIN YUSNAN

Pensyarah & Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!