X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM cadang bayaran secara berkala selesai isu tunggakan gaji

Pasukan PDRM -Foto PDRM FA
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan cadangan membuat penstrukturan pembayaran secara berkala bagi melangsaikan masalah tunggakan gaji melibatkan pemain, pegawai serta pihak ketiga pasukan itu.

Ia sebagai usaha persatuan itu memenuhi syarat pelesenan kelab FAM, selepas FAM memberi amaran kepada tiga pasukan termasuk PDRM supaya melunaskan tunggakan gaji, atau bakal berhadapan tindakan keras, sehingga boleh disingkirkan daripada saingan musim ini.

Cadangan tersebut dikemukakan PDRM ketika kunjungan hormat badan induk bola sepak negara ke atas persatuan itu hari ini, bagi membincangkan pelbagai aspek pengurusan termasuk kelestarian PDRM dalam saingan tempatan, serta kekangan kewangan sedia ada dihadapi pasukan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan badan induk itu hari ini menyifatkan, pertemuan yang juga kunjungan hormat pertama untuk tahun 2020 sebagai pembuka mata kedua-dua pihak.

"FAM menyambut baik cadangan (pembayaran secara berkala) itu namun mengingatkan pasukan (PDRM) untuk membuat perjanjian bertulis bersama pemain ataupun pegawai terbabit, yang bersetuju dibayar secara ansuran bagi mengelakkan sebarang masalah," katanya dalam kenyataan itu.

Hadir sama Presiden PDRM yang juga Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor bersama barisan exco FAM dan juga barisan exco PDRM.

Selain PDRM, Melaka dan Kelantan turut berhadapan amaran hukuman pemotongan tiga mata daripada Liga-M, sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji pasukan masing-masing pada 31 Jan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Melaka, Kelantan dan PDRM diberikan amaran akhir

Tambahan enam mata lagi akan dipotong sekiranya mana-mana tiga pasukan berkenaan gagal melunaskan tunggakan gaji sehingga tarikh akhir kedua, yang ditetapkan iaitu pada 28 Feb ini, sebelum tindakan penyingkiran dilakukan jika gagal menjelaskan pada tarikh akhir ketiga 30 Mac ini.

Dalam pada itu, kunjungan hormat ke atas PDRM adalah yang kelapan selepas FAM ke Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Menurut Hamidin, kunjungan hormat ini selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) yang dilancarkan selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 F:30. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus