X

Kindly register in order to view this article
!

Program Subsidi Petrol: Tunggu keputusan Kabinet, kata menteri

Saifuddin Nasution - Foto: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerahkan keputusan untuk melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) kepada Kabinet, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Kabinet akan membuat keputusan berdasarkan hasil perbincangan mengenai pelan komunikasi antara kementerian dan Kementerian Kewangan.

"Kami telah mengadakan mesyuarat pada minggu pertama Januari dan kami akan sama-sama menyediakan laporan kepada Kabinet dan Kabinet akan membuat keputusan.

"Status terkini ialah ditangguhkan, bukan menghentikannya. Kami telah diberi tanggungjawab untuk membuat pelarasan kecil (ke atas PSP), " katanya kepada pemberita di luar Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2020 di sini hari ini.

PSP, yang dijadualkan dilaksanakan pada Januari 2020, telah ditangguhkan kepada tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Program itu untuk membantu seramai 2.9 juta orang dalam kumpulan B40 yang layak mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH).

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan PSP akan diperluaskan untuk melibatkan kira-kira lima juta golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM4,000.

Saifuddin berkata kementeriannya telah mengenal pasti kriteria untuk kelayakan bagi skim PSP.

“Terdapat beberapa kaedah yang akan kami teliti. Setakat ini, kami bersedia," katanya.

Mengenai kemajuan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Monopoli, Saifuddin berkata prosesnya masih berjalan dengan mesyuarat dijadualkan dipengerusikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Kami membincangkan syarikat-syarikat seperti Pharmaniaga dan Puspakom dalam beberapa mesyuarat sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, Saifuddin berkata Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Monopoli merupakan antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan, dan terdiri daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini terlibat dalam proses meminda Akta Persaingan 2010 untuk memasukkan peruntukan penggabungan yang memberikan MyCC kuasa untuk menyemak transaksi penggabungan yang mempunyai kesan anti-persaingan yang memudaratkan dalam pasaran.

Saifuddin berkata pindaan itu akan membantu mengurangkan penggabungan anti-persaingan dan membantu kementerian mengawal kos sara hidup rakyat.

“Sementara itu, kementerian saya, melalui MyCC, akan terus memantau pasaran ride-hailing dalam talian selepas penggabungan untuk memastikan pengguna masih mendapat layanan yang adil dan ditawarkan harga yang berpatutan untuk perkhidmatan ride-hailing,” katanya.

Forum sehari itu merupakan anjuran Kingsley Strategic Institute dan Economic Club of Kuala Lumpur.- Bernama