Lembaga Pengarah SRC dilantik untuk laksana kehendak Najib - Bekas Pengarah SRC

Najib Razak. Foto fail Bernama
Najib Razak. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd telah dilantik bagi melaksanakan kehendak pemegang saham syarikat berkenaan iaitu bekas Perdana, Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail, 59, berkata, pada kebiasaannya, dalam kes sebuah syarikat yang baharu diperbadankan, Lembaga Pengarah diberi kebebasan untuk menggunakan kepakaran dan menyuarakan pandangan mereka untuk menentukan hala tuju syarikat dan usaha kerajaan yang ingin diteruskan.

"Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah apabila kami dilantik ke entiti ini yang dinamakan SRC, kami tidak diberikan kebebasan yang membolehkan kami menyuarakan pandangan apa yang perlu dilakukan dengan syarikat ini. Itu bukan senarionya.

"Dalam SRC, sebaik sahaja anda dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, anda dimaklumkan bahawa ini adalah arahan atau kehendak pemegang saham untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan dengan sokongan Lembaga Pengarah," katanya ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Ismee memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga pada prosiding saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika itu, adalah pemegang saham tunggal SRC International melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Disoal lanjut oleh Muhammad Farhan, Ismee berkata, ada ketika beliau berang dengan Nik Faisal apabila mengetahui syarikat itu tidak memfail dan menyerahkan akaun SRC International bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM), yang ditetapkan September 2012.

"Terdapat satu artikel dalam akhbar The Edge bertarikh 5 Mei 2014 bertajuk 'SRC yet to file accounts or seek extension.' Apabila saya membaca artikel itu, saya memberitahu Nik Faisal bahawa anda sepatutnya memberi maklum balas untuk menyangkal artikel itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, Nik Faisal memberitahu saya bahawa memang benar SRC belum berbuat demikian. Ketika ini, saya menengking beliau dan melakukan usaha sendiri bagi memastikan akaun itu ditutup. Beliau menenangkan saya dan berkata semuanya adalah baik-baik sahaja. Kita tak sangka Nik Faisal penipu," kata Ismee.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 10 Jun ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!