Agong, Permaisuri sempurnakan pemakaian pangkat dua anakanda

Yang di-Pertuan Agong (kiri) bersama Raja Permaisuri Agong berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Leftenan Muda kepada engku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong (kiri) bersama Raja Permaisuri Agong berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Leftenan Muda kepada engku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Pangkat kepada dua anakanda baginda.

Majlis Pemakaian Pangkat itu disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka berdua kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dipakaikan pangkat Leftenan Muda dan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang dipakaikan Leftenan Kolonel di Istana Negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah kerabat-kerabat Diraja Pahang serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Susulan pemakaian pangkat itu, Tengku Hassanal akan ditugaskan di 4 Briged Mekanize, Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pahang manakala Tengku Amir pula di Batalion Pertama Rejimen 505 (Askar Wataniah), Pahang.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan bergambar selepas majlis pemakaian pangkat kepada dua anakanda di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan bergambar selepas majlis pemakaian pangkat kepada dua anakanda di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama

Tengku Hassanal telah menamatkan pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada Disember 2019 selepas menjalani latihan di akademi itu selama 44 minggu.

Tengku Hassanal merupakan adalah antara 242 pegawai kadet yang ditauliahkan di perbarisan Sovereign's Parade di Sandhurst, yang dirasmikan oleh HRH Sophie, Countess of Wessex sebagai mewakili Ratu Elizabeth ll pada 13 Disember 2019.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berangkat ke majlis perbarisan pentauliahan Tengku Hassanal itu.

Artikel Berkaitan:

Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst merupakan pusat latihan tentera tersohor dunia. Sejak berdekad lalu, sebilangan anak-anak raja Melayu telah menjalani latihan dan bimbingan di akademi berkenaan.

Al-Sultan Abdullah juga pernah menjalani latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst dari 1978 sehingga 1979 dan ditauliahkan oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1980.

Antara lain yang menjalani latihan ketenteraan di akademi itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Bernama