'Tuah' yee sang Tahun Baru Cina

A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi masyarakat Cina di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan yee sang yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.

Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

Yee sang yang merupakan antara hidangan tradisi dan popular Tahun Baru mempunyai maksud yang tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk yee sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.

Dalam bahasa Cina, yee bermaksud 'ikan' yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan 'senang' dan sang bermaksud 'mentah' yang sering disamakan dengan 'kelahiran semula'.

"Jadi, kami percaya seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan dan dipanjangkan umur dengan memakan yee sang, selain dilimpahi kebaikan dan dikurniakan tuah tidak kira bidang yang diceburi," kata Timbalan Pengarah Pemasaran Sunway Velocity Mall, Darren Chear berkongsi kisah yee sang dengan Bernama baru-baru ini.

Yee sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun yang lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.

"Ia juga turut dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan yee sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan ketika itu bagi memperingati kisah itu," jelas Chear.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan yee sang. - Foto Bernama
Sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan yee sang. - Foto Bernama

Menurut Chear, idea menghasilkan hidangan ini muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.

"Disebabkan tidak mahu membazir, mereka mencampurkan saki baki makanan itu dan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.

"Simbolik menggaul yee sang kebiasaannya dilakukan pada hari ketujuh kerana bagi memperingati 'Ren Ri' iaitu 'Hari Manusia' berkaitan dengan mitos Dewi Nu Wa itu, yang turut membawa maksud 'kelahiran semula'," tambahnya.

Chear memberitahu Bernama, walaupun yee sang berasal dari Tanah Besar China, namun masyarakat di sana tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya memakan dan menggaul hidangan itu ketika Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, ramai yang tidak tahu sebenarnya yee sang dipopularkan oleh seorang ahli perniagaan dari Seremban, Negeri Sembilan iaitu Loke Ching Kee pada tahun 1940-an dan mereka melakukan acara melambung yee sang sambil melaungkan 'Lou Hei' yang bermaksud 'gaul naik'.

Ia juga bermaksud mengucapkan kata-kata yang baik seperti 'semoga bertambah rezeki', 'semoga panjang umur', 'semoga keluarga bahagia'. Ia umpama doa yang merupakan simbolik kepada permohonan dan pengharapan agar tuah dan rezeki akan bertambah pada tahun yang mendatang.

Pada kebiasaannya, menu yee sang disajikan sebagai hidangan pembuka selera sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki.

Upacara 'Lou Hei' akan dilakukan sebelum makan dengan semua orang berkumpul mengelilingi meja dan akan menggaul serta melambung isi yee sang yang terdiri daripada sayur-sayuran, ikan mentah dan sos.

"Kami percaya bahawa semakin tinggi yee sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun, “ jelas Chear.

Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan 'Lou Hei' dilaungkan dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.

Walaupun yee sang dikatakan bermula di tanah besar China, Yee Sang versi Malaysia sangat berbeza dengan versi China kuno daripada segi bahan, cara menghias dan cara memakannya.

Menurut Chef Eksekutif Hotel Kosmo Kuala Lumpur, Lee Foei Wong, persamaannya dengan yee sang moden adalah dari segi ikan mentahnya sahaja manakala bahan-bahan lain, cara menghias malah cara memakannya termasuk melambung yee sang tidak dipraktikkan sama sekali oleh mereka.

"Inti yee sang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung, jus limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup.

"Kesemua inti tersebut akan disusun secara rapi di atas sebuah pinggan bulat," katanya.

Sebelum proses menggaul yee sang dimulakan, sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memerah jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.

"Selepas sos dituang, tibalah detik yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul yee sang yang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua intinya akan digaulkan bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat," katanya.

Foei Wong yang mempunyai pengalaman menyediakan masakan Cina selama 19 tahun berkata, yee sang boleh disediakan dalam pelbagai bentuk tidak hanya terhad kepada sayur-sayuran dan ikan salmon mentah sahaja.

"Kami menyediakan hidangan Yee Sang berdasarkan permintaan, ada Yee Sang versi vegetarian dan tidak kurang juga ada Yee Sang yang seakan-akan rojak buah.

"Walaupun terdapat pelbagai jenis pilihan yee sang, simbolik kemakmuran dan kesejahteraan bagi menggaul dan memakan yee sang masih lagi sama pada sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun," katanya. - Bernama