APMM tahan kargo Taiwan berlabuh di Melaka

Maritim Malaysia menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh di luar batas perlabuhan Melaka di sini, semalam.
Maritim Malaysia menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh di luar batas perlabuhan Melaka di sini, semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka di sini, awal pagi tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal itu ditahan lebih kurang jam 1.15 pagi pada kedudukan empat batu nautika Barat Daya Pulau Upeh.

Menurutnya, ketika itu, kapal APMM sedang melakukan rondaan rutin sebelum mendapati sebuah kapal kargo sedang berlabuh.

"Curiga dengan keadaan itu, pihak kami menghampiri dua kapal berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati kapal dikenali sebagai 'Xie Riong 12' gagal menunjukkan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Dua kru kapal iaitu master serta third engineer ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan awal turut mendapati kapal berkenaan berdaftar di Keelung, Taiwan dan mempunyai seramai 20 orang kru dari rakyat Taiwan serta Indonesia berusia dari 26 hingga 64 tahun.

Siasatan lanjut kes itu dilakukan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dalam pada itu katanya, APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka serta Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.