'Rentak harus lebih konsisten'

Zii Jia antara pemain perseorangan yang mengalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2020 yang berakhir semalam.
Zii Jia antara pemain perseorangan yang mengalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2020 yang berakhir semalam.
A
A
A

LEGENDA beregu negara, Datuk Razif Sidek menyifatkan aksi para pemain perseorangan lelaki Malaysia pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2020 yang berakhir semalam agak mengecewakan.

Razif berkata, kegagalan berkenaan secara keseluruhannya memperlihatkan bahawa pemain negara gagal mempertahankan kecemerlangan yang dikecapi daripada satu kejohanan kepada satu kejohanan yang lain.

Menurutnya, senario sedemikian perlu segera diperbaiki jika mahu menyaksikan pemain perseorangan negara mara lebih jauh dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

“Saya lihat persembahan single (perseorangan) agak mengecewakan di mana kita tak boleh tahan daripada satu kejohanan kepada satu kejohanan dan ini kelemahan yang kita nampak dan kita harus memperbaikinya bermula daripada tahap kecergasan, mental perlu diperbaiki dan lain-lain.

“Ya, memang sukar kerana sekarang adalah musim kutipan mata untuk Olimpik dan semua pemain ‘memburu’ mata untuk berada pada ranking terbaik dari tahap kecergasan, fizikal dan mental.

“Sebab itu pemain perlu berjaga-jaga, sentiasa berada pada tahap prestasi terbaik kerana semua (pemain) lebih kurang sama, mungkin tahap berbeza yang penting kena faham tanggungjawab,” katanya kepada Sukan Sinar.

Beliau berkata demikian mengulas prestasi kurang memberangsangkan pemain perseorangan negara pada kejohanan di Istora Senayan, Jakarta yang berakhir semalam.

Untuk rekod, acara perseorangan lelaki pada kejohanan berkenaan menyaksikan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terkandas pada pusingan pertama manakala Liew Darren pula gagal melepasi pusingan kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Zii Jia, pemain ranking ke-13 dunia, terpaksa akur kehebatan pemain China, Huang Yu Xiang pemain ranking ke-26 dunia, 21-17, 21- 23, 12-21 manakala Darren pemain ranking ke-41 dunia pula tewas 18-21, 12-21 kepada pemain ranking ke-38 dunia dari Korea, Heo Kwang Hee.

Sementara itu Razif menyifatkan ‘barisan baharu’ pemain badminton kali ini akan sentiasa berusaha untuk mengembalikan era kegemilangan seperti mana yang pernah dirasai sebelum ini.

Katanya, biarpun agak sukar namun ia boleh dilakukan dengan kerja keras daripada semua pihak terlibat seperti barisan kejurulatihan dan sebagainya.

“Kita harap mereka ini sentiasa berusaha. Walaupun agak kurang matang dari segi pertandingan, tetapi mereka perlu lebih fokus.

“Kalau nak kata kita tak cukup sparring, kita ada banyak recources (sumber). Momota (Kento) sendiri tak ada banyak pemain yang lebih handal daripada dia, tetapi dia dapat sesuaikan diri dengan keadaan dan hari ini, dia boleh pergi jauh,” katanya.