X

Kindly register in order to view this article
!

Guna bulu tangkis sintetik tahun depan

THOMAS LUND
A
A

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) hari ini meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik pada semua peringkat kejohanan antarabangsa mulai 2021 bagi meningkatkan kelestarian sukan itu.

Melalui keputusan tersebut, BWF membenarkan pengeluar bulu tangkis untuk mendapatkan kelulusan di bawah skim Kelulusan Peralatan BWF untuk versi dan aspek teknikal bulu tangkis mereka untuk digunakan dalam pertandingan antarabangsa.

BWF menyatakan, selepas ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip yang dijalankan sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding bulu tangkis yang menggunakan bulu asli.

Pelbagai ujian juga mendapati bulu tangkis sintetik dapat mengurangkan penggunaan bulu tangkis sehingga 25 peratus, memberikan kelebihan yang penting untuk ekonomi dan penjagaan alam sekitar demi masa hadapan badminton.

Setiausaha Agong BWF, Thomas Lund berkata, wawasan ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan penggunaan bulu tangkis dari bulu asli dan percaya ia akan membawa kepada penerimaan dan penggunaan meluas bulu tangkis sintetik mulai tahun 2021.

“Kami dapati daripada beberapa pemain elit yang terlibat dalam ujian, mereka dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan kecil antara versi bulu tangkis sintetik dan bulu tangkis asli dengan cepat. Jadi ia satu berita baik untuk prestasi bulu tangkis itu.

“Kami amat teruja dengan hasil daripada projek ini dan kami mahu lihat bulu tangkis sintetik ini berkembang lagi. Terima kasih tidak terhingga perlu diberikan kepada Yonex atas kerja keras mereka, inovatif dan kesungguhan yang dilakukan sejak lima tahun lepas,” kata Lund dalam satu kenyataan.

Badan dunia badminton itu menjangkakan pelaksanaan penggunaan bulu tangkis sintetik ini akan mengambil masa beberapa tahun dengan pengeluaran dan kesediaan produk sintetik tersebut akan perlahan-lahan meningkat bagi memenuhi permintaan.

“Ia akan bergantung kepada pelbagai penganjur kejohanan dengan kesediaan mana-mana jenama bulu tangkis sintetik yang diluluskan, bagi memutuskan kejohanan mana yang akan menggunakan bulu tangkis sintetik,” katanya. - Bernama