Wanita terkena renjatan elektrik dalam kebakaran

Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian kebakaran awal pagi Jumaat
Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian kebakaran awal pagi Jumaat
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra-Kampung Lundang, awal pagi Jumaat.

Mangsa berusia 36 tahun itu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Bomba Kanan II, Ramli Abdullah berkata, bomba menerima panggilan kira-kira jam 3.15 pagi berhubung kejadian dan jentera tiba di lokasi lima minit kemudian.

Lokasi kejadian kebakaran di Jalan Sultan Yahya Petra - Kampung Lundang awal pagi Jumaat.
Lokasi kejadian kebakaran di Jalan Sultan Yahya Petra - Kampung Lundang awal pagi Jumaat.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis separuh kekal yang musnah 100 peratus, manakala dua rumah jenis kekal musnah 70 peratus.

"Dalam kejadian itu, turut menyebabkan dua kereta iaitu Proton Preve dan Proton Persona serta sebuah motosikal Yamaha Y15 musnah 100 peratus,

"Pada masa sama, anggota bomba menghantar seorang wanita yang terkena renjatan di lokasi ke HRPZ II pada jam 5.30 pagi," katanya.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, seramai 31 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, BBP Kota Bharu, BBP Tunjung dan BBP Pengkalan Chepa berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh kurang dua jam.

Artikel Berkaitan:

"Api dapat dikawal pada jam 4.45 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam kira-kira jam 6.02 pagi, namun anggota bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!