RM66 juta agihan inisiatif e-Tunai Rakyat

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

CYBERJAYA - Sejumlah RM66 juta telah diagihkan kepada rakyat menerusi insiatif e-Tunai Rakyat setakat 9 malam semalam sejak dilaksanakan pada 15 Januari lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sambutan orang ramai terhadap skim itu terbukti memberangsangkan dengan sejumlah 2.2 juta permohonan telah diluluskan daripada 2.9 permohonan yang diterima.

"Selain meningkatkan kadar penerimaan bagi pembayaran tanpa tunai di Malaysia, inisiatif e-Tunai Rakyat itu akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara apabila penerima membelanjakannya di peringkat peniaga dan vendor tempatan," katanya pada majlis pelancaran ekosistem tanpa tunai Cyberjaya dengan QR kebangsaan Malaysia, DuitNow QR hari ini.

Hadir sama Pengerusi Cyberview Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Mohd Najib Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet Peter Schiesser.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM450 juta bagi inisiatif e-Tunai Rakyat tersebut.

Inisiatif bermula 15 Januari lepas dan berakhir pada 14 Mac ini, membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk menebus RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih, Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng menegaskan bahawa usaha melahirkan masyarakat tanpa tunai itu adalah seiring dengan keutamaan kerajaan untuk menangani gejala rasuah.

"E-pembayaran itu merupakan saluran penting dan selamat bagi memastikan pihak yang layak menerima subsidi kita tanpa perlu membayar fi kendalian atau komisyen yang tidak sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, walaupun telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif sejak dua dekad lepas, hanya lima peratus daripada jumlah bayaran harian di Malaysia dijalankan menerusi kaedah tanpa tunai.

Sehubungan itu katanya, antara aspek yang perlu ditumpukan bagi melonjakkan lagi amalan itu adalah memperluas kemudahan e-pembayaran selain selamat dan mudah digunakan.

Pada majlis hari ini, Guan Eng berkata, ekosistem tanpa tunai Cyberjaya akan dikendalikan oleh DuitNow QR, kos standard QR kebangsaan Malaysia.

Menerusi inisiatif itu katanya, Cyberjaya akan menjadi bandar pertama di Malaysia untuk menggunapakai kod QR kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia.

Piawaian DuitNow QR itu membolehkan pihak peniaga menjalin kerjasama dengan pihak seperti pelanggan semua bank dan e-dompet terbabit untuk membuat pembayaran DuitNow QR menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing, katanya.

"Menerusi penyertaan dalam DuitNow QR, peniaga terbabit dapat menerima bayaran daripada 22 juta pelanggan bank selain berjuta-juta pengguna e-dompet," katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata kira-kira 51 peratus peniaga di Cyberjaya mempunyai kemudahan tanpa tunai setakat Disember 2018 dan angka itu dijangka meningkat susulan pelaksanaan DuitNow QR.

Rangkaian DuitNow itu dibangunkan oleh PayNet yang dimiliki bersama oleh 11 bank dengan BNM menjadi pemegang saham terbesarnya.

- Bernama