Buruh binaan warga India didakwa tunjuk kemaluan dalam lif

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang buruh binaan warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam lif dua minggu lalu.

Sewa Singh, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Sewa didakwa menghina kesopanan dengan menunjukkan kemaluan kepada remaja terbabit di lif tingkat satu sebuah pangsapuri pada jam 12 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak ganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Sewa, Tarlochan Singh yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

Menurutnya, lelaki itu telah bekerja secara sah dan tinggal di Malaysia selama empat tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 September depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!