Warga emas pamer gambar Agong pada PRK KKB didakwa semula

No Image Caption
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu hari ini atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu (KKB), awal bulan ini.

P. Ramasamy, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Ramasamy didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada 5.40 petang, 4 Mei lepas, mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam N. Rajesh mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya warga emas dan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana perbelanjaan ditanggung oleh anak-anak tertuduh.

Siti Fatimah membenarkan Ramasamy diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 6 Mei lepas, Ramasamy tidak diwakili peguam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Majistret itu turut mengarahkan Ramasamy yang bekerja sendiri, menjalani hukuman penjara dari tarikh beliau ditangkap (4 Mei) dan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak pengakuan bersalah Ramasamy dan memerintahkan kes itu dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Wendy Ooi Su Ghee menolak pengakuan bersalah Ramasamy selepas membenarkan permohonan semakan difailkan tertuduh terhadap pengakuan bersalahnya sebelum ini di Mahkamah Majistret KKB.

Su Ghee memutuskan demikian atas alasan Ramasamy tidak memahami kesan pengakuan pertuduhan berdasarkan mitigasi dikemukakan di Mahkamah Majistret, sekali gus menjadikan pengakuan berkenaan sebagai pengakuan bersyarat serta mengarahkan kes itu dikembalikan semula kepada Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu untuk dibicarakan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!