FAM tak nak toleh ke belakang lagi

Noor Azman
Noor Azman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega dan meningkatkan tumpuan memajukan landskap bola sepak negara selepas dua dakwaan salah guna kuasa terhadap badan induk itu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, dakwaan-dakwaan itu yang berpunca daripada penyebaran 'surat layang' pada hujung Mac lalu amat membebankan menyebabkan badan induk bola sepak negara tersebut seolah-olah 'lumpuh' hampir dua bulan.

“Perkara (surat layang) itu memang amat membebankan kita (FAM) sebab bila kita terima dari 31 Mac lepas, hampir dua bulan kita tak dapat nak buat apa-apa. Bila keadaan jadi lega dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) maklumkan NFA, kita amat bersyukur.

“Alhamdulillah segala apa yang kita buat telah diiktiraf, memang dari segi tadbir urus kita ikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Rabu.

Noor Azman berkata, FAM akan terus memandang ke hadapan antara lain untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan menyertai kejohanan antarabangsa.

“Bagi FAM kita nak maju ke hadapan, tak nak toleh ke belakang, banyak lagi yang kita hendak fikirkan, kita ada lagi dua perlawanan (Harimau Malaya), lepas itu U20 (Bawah 20 Tahun), U-17 (Bawah 17 Tahun), Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) dan banyak lagi,” katanya.

Pada Rabu, Jawatankuasa Integriti FAM memaklumkan SPRM telah menjalankan siasatan merangkumi dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian tender projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya bernilai RM25 juta dan isu tohmahan penyalahgunaan wang bagi penganjuran Kongres FAM ke-60.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, siasatan ke atas kedua-dua isu tersebut telah selesai dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya yang berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM dan memutuskan kes diklasifikasikan sebagai NFA.

Artikel Berkaitan:

Pada hujung Mac lalu, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu melibatkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!