Menteri Besar digesa selesaikan isu Kampung Sri Makmur

Mohamed Sukri (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Mohamed Sukri (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyelesaikan segera isu perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, rakyat yang terkesan dengan 'tragedi hitam' itu memerlukan pembelaan daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu memikirkan nasib rakyat terlebih dahulu berbanding apa jua projek pembangunan yang ingin dilaksanakan di kawasan terbabit.

"Jangan biarkan kepesatan pembangunan mengabaikan kebajikan rakyat yang seharusnya menjadi fokus utama kerajaan negeri.

"Semakin megah berdiri bangunan baharu pencakar langit di tanah Gombak ini, semakin menipis nilai kemanusiaan dan toleransi dalam memahami realiti penduduk penduduk Kampung Sri Makmur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sukri memberitahu, kira-kira 100 rumah penduduk diroboh diberi tempoh hanya tiga hari untuk berpindah setelah diberi insentif sebanyak RM1,000 pada Jumaat lalu, bagaimanapun tidak semua mendapat pampasan berkenaan.

"Logikkah hanya diberi masa tiga hari untuk mengosongkan rumah hanya berbekalkan RM1,000?

"Mereka diusir dari tanah yang mereka duduki sejak puluhan tahun lalu tanpa rasa belas kasihan, ibarat pelarian yang tiada tempat berlindung," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Sukri mendakwa, meskipun penduduk ditawarkan dengan Rumah Selangorku, hakikatnya masih ada penduduk tidak mempunyai tempat berteduh kerana tidak tersenarai.

Jelas beliau, sebuah akhbar sebelum ini turut melaporkan bahawa perancangan asal terhadap tanah tersebut mahu dibangunkan sebuah hospital, tetapi kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk membina sebuah kondominium mewah.

"Semua persoalan ini masih menimbulkan tanda tanya dan jika benar, mengapa kerajaan seolah-olah membiarkan kampung sudah dihuni berpuluh tahun di kawasan bernilai tinggi ini berjaya dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mencari keuntungan?" soalnya.

Dalam pada itu, polis mengesahkan telah menerima 20 laporan berkaitan kes perobohan rumah di Kampung Sri Makmur Gombak dekat sini pada Isnin.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, sembilan keluarga yang merupakan penduduk asal yang telah menetap lama di kampung terbabit telah diarahkan berpindah.

Ia bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium di kawasan berkenaan.

Terdahulu, penduduk yang terlibat sebelum ini telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu, namun telah ditangguhkan sehingga Ahad lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!