Serangan terhadap OKU: Tiada istilah kes selesai - Hassan Karim

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan dari segi undang-undang jenayah tiada istilah kes telah selesai walaupun mangsa membuat laporan polis kedua menyatakan bahawa kes telah selesai.

Beliau menjelaskan, apabila sesuatu laporan polis dibuat maka dokumen itu dipanggil first information report atau ringkasnya FIR.

Hassan berkata, sebaik sahaja menerima laporan, jika kesalahan itu merupakan serangan fizikal ke atas diri seseorang dan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, maka tugas polis ialah memanggil pihak yang menyerang mangsa itu untuk disiasat.

"Polis juga perlu menghantar mangsa ke hospital kerajaan yang berdekatan untuk memeriksa kecederaan yang dialami oleh si mangsa.

"Polis perlu membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan si penyerang di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

"Jika siasatan terpaksa memakan masa melebihi 24 jam, maka si penyerang perlu ditahan di bawah Seksyen 117 KAJ dengan membawa si penyerang ke mahkamah atau ke balai polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman daripada majistret mahkamah," ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Rabu.

Kenyataan tersebut tidak memetik sebarang nama atau menyentuh kes secara khusus, namun dipercayai berkaitan kes pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Polis Kuala Lumpur mengesahkan bahawa kes seorang pengiring kenamaan yang dilaporkan mencederakan seorang orang kurang upaya (OKU) sudah diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada pengadu pada jam 1 tengah hari Selasa.

Rusdi berkata, pengadu kemudian telah membuat laporan polis kedua pada jam 9.59 malam, hari sama, dia menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes.

Menurut Hassan, walaupun mangsa membuat aduan polis kedua, ia tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.

"Yang penting ialah laporan polis yang pertama iaitu FIR.

"Kes telah selesai ia membawa makna dari segi kesalahan tort di mana si mangsa tidak berniat untuk mengambil tindakan sivil bagi kesalahan tort yang merupakan serangan ke atas diri yang dipanggil assault and battery.

"Tetapi bagi kesalahan jenayah, itu adalah dalam bidang kuasa polis.

"Walau si mangsa tarik balik laporan polisnya yang pertama atau membuat laporan polis yang kedua menyatakan kes telah selesai maka dari perjalanan undang-undang ia tidak boleh mempengaruhi atau memberhentikan tindakan polis," ujarnya.

Jelasnya, perkara ini membabitkan kedudukan undang-undang di bawah 'rule of law' atau sistem kedaulatan undang undang di negara kita Malaysia.

'Di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah sama rata atau kesamarataan kepada setiap warga negara di bawah undang-undang.

"Di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan setiap warganegara termasuk golongan OKU dijamin kebebasan dirinya," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!