JPN rekod 27,280 kes daftar lewat kelahiran

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias menyerahkan sijil pendaftaran kelahiran kepada Anis Suhada Sukeri, 7 (tengah) dan adiknya, Rais Rayyan, 1 di rumahnya di Kampung Pengkalan Ubi Keling pada Rabu. Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias menyerahkan sijil pendaftaran kelahiran kepada Anis Suhada Sukeri, 7 (tengah) dan adiknya, Rais Rayyan, 1 di rumahnya di Kampung Pengkalan Ubi Keling pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA BESUT - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 27,280 kes permohonan pendaftaran lewat kelahiran sejak 2022 sehingga semalam.

Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12,398 permohonan direkodkan pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 192 kes berbanding 12,206 kes pada tahun 2022.

"Sabah ialah negeri paling banyak pendaftaran lewat iaitu sebanyak 8,158 kes sejak tahun 2022 diikuti Selangor, Sarawak dan Johor manakala negeri paling sedikit ialah Perlis berjumlah 133 kes.

"Terengganu pula merekodkan 713 kes untuk tempoh yang sama,” katanya kepada pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) sempena Penyerahan Sijil Kelahiran Daftar Lewat di Kampung Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut di sini pada Rabu.

Beliau berkata, antara yang menjadi faktor kelewatan pendaftaran kelahiran disebabkan masalah kemiskinan, keluarga dan sebagainya.

Sehubungan itu, Badrul Hisham mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin setempat, pertubuhan bukan kerajaan, media dan seluruh masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada JPN sekiranya mengetahui masih ada individu yang belum mendaftar kelahiran.

Terdahulu, Badrul Hisham menyerahkan sijil kelahiran kepada dua beradik iaitu Anis Suhada Suheri,7, dan adiknya Rais Rayyan yang berusia setahun.

Media sebelum ini melaporkan kelewatan ibu bapa kanak-kanak berkenaan mendaftarkan anak mereka itu kerana menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan Anis Suhada tidak mendaftar sekolah untuk memasuki Tahun Satu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!