Lebih 2,000 kes permohonan kewarganegaraan selesai

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan sebanyak 2,373 kes permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan sehingga 24 Mei 2024 melibatkan permohonan yang diterima di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, perkara itu bagi mengeluarkan keputusan permohonan untuk kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang bertaraf warganegara.

"Semua kelulusan ini dibuat oleh Menteri Dalam Negeri selaras dengan janji kerajaan MADANI.

"Kebanyakan kes kelewatan daftar kelahiran anak di negeri bersempadan iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak berpunca daripada 'perkahwinan tidak teratur' iaitu pernikahan di luar negara tanpa pengesahan semula perkahwinan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi penyerahan dokumen pengenalan diri kepada orang kurang upaya (OKU) Afiq Aiman Mohd Abdullah, 22, di Kampung Kadok di Kampung Chenok, Batu 8, Kadok di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah JPN Negeri Kelantan, Asrehan Ab Razak.

Badrul Hisham berkata, perkahwinan yang tidak teratur dan tidak didaftarkan antara punca utama kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Kebiasaan perkahwinan kedua di luar negara tanpa kebenaran dan pasangan tidak mendaftarkan semula status perkahwinan mereka di dalam negara menyebabkan kesukaran mendaftarkan anak-anak sebagai warganegara.

"Kami menyarankan mana-mana pasangan yang berkahwin di luar supaya mendaftarkan perkahwinan mereka kerana ia memberi kesan yang besar kepada taraf kerakyatan anak di kemudian hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha itu adalah bagi membantu segala urusan JPN, walau bagaimanapun hak mendaftar perkahwinan adalah bergantung kepada individu masing-masing.

Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur 21 tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!