KTMB laksana jadual baharu, 6 perkhidmatan bermula 1 Ogos ini

KTMB akan melaksanakan penjadualan baharu bagi laluan perkhidmatan ETS dan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres bermula 1 Ogos ini. Foto hiasan
KTMB akan melaksanakan penjadualan baharu bagi laluan perkhidmatan ETS dan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres bermula 1 Ogos ini. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaksanakan penjadualan baharu bagi laluan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dengan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres bermula 1 Ogos ini.

KTMB berkata, penjadualan semula tersebut mengambil kira penyiapan projek naik taraf Fasa 1 elektrifikasi Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) di sektor Rawang ke KL Sentral.

“Ketersambungan perkhidmatan ETS dengan perkhidmatan tren lain seperti Komuter Utara, Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran di stesen utama juga antara faktor yang turut menyumbang kepada penjadualan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

KTMB turut memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres daripada 32 perkhidmatan sedia ada bagi sektor KL Sentral ke Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.

Menurutnya, tren ekspres berkenaan akan berhenti di stesen utama sahaja dan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga empat jam perjalanan.

“Ia dapat memberi penjimatan masa perjalanan kepada penumpang untuk ke destinasi sama ada untuk tujuan melancong, bercuti atau pulang ke kampung halaman.

“Inisiatif ini juga adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berteraskan pengangkutan rel dengan selesa dan selamat,” tambahnya.

Sementara itu, KTMB memaklumkan penjualan tiket tren ETS dan KTM Intercity bagi Ogos hingga November akan bermula 30 Mei 2024 pada 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pengguna dinasihatkan mengambil peluang berkenaan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket dengan lebih awal khususnya ketika cuti umum serta cuti penggal persekolahan.

“Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan tiket secara atas talian melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB di ww.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas,” jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!