Dr Mahathir tinjau lebih banyak projek demonstrasi 5G

Dr Mahathir mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Strategi Telekom Malaysia Bhd (TM), Tengku Muneer Tengku Muzani ketika melawat Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Kawalan 5G Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Strategi Telekom Malaysia Bhd (TM), Tengku Muneer Tengku Muzani ketika melawat Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Kawalan 5G Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meneruskan agenda meninjau pelaksanaan projek-projek demonstrasi 5G (5GDP) di sini.

Perdana menteri memulakan agenda lawatan itu dengan merasmikan pembukaan Pusat Kawalan 5G yang terletak di Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi.

Diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Dr Mahathir turut diberi taklimat mengenai 5GDP oleh Ketua Pegawai Strategi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tengku Muneer Tengku Muzani.

Sebagai pusat kawalan bersepadu yang membolehkan pengawasan tepat pada masanya untuk pemantauan berskala besar oleh pihak berkuasa tempatan bagi memenuhi pelbagai keperluan dengan disokong oleh analisis, Kecerdasan Buatan dan Objek Rangkaian Internet (IoT), 5GCC dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang berperanan sebagai pusat pemantauan keselamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan tumpuan di pulau itu.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Dr Mahathir kemudiannya meninjau pelaksanaan kes kegunaan 5GDP iaitu e-Kelas oleh Maxis.

e-Kelas adalah program komuniti utama Maxis yang memperjuangkan pembelajaran digital untuk pelajar di kawasan luar bandar.

Inisiatif pembelajaran digital selepas waktu sekolah itu disediakan bagi pelajar Tahun Enam sehingga Tingkatan Lima yang membawa gaya pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan ceria melalui penyediaan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir mengakhiri lawatannya dengan meninjau tanaman sayuran tanah tinggi yang diusahakan di dalam kontena, antara kejayaan yang diperoleh hasil pelaksanaan kes kegunaan projek 5GDP yang sedang dijalankan TM dalam Kluster Pertanian Pintar di pulau ini sejak Oktober. - Bernama