Kerajaan beri sokongan pastikan pelaburan asing berjalan lancar - PM

Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Energy, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed di pejabat beliau di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Energy, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed di pejabat beliau di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Malaysia komited memberikan sokongan dalam memastikan pelaburan asing berjalan lancar dan memulakan operasi mengikut jadual.

Anwar berkata, kehadiran pelabur yang kukuh seperti Mubadala Energy, syarikat tenaga antarabangsa yang berpusat di Abu Dhabi dengan pelaburan di tujuh negara termasuk Malaysia, adalah selari dengan usaha kerajaan melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

"Malaysia mengalu-alukan perancangan pelaburan ini yang turut terkait projek-projek berimpak tinggi tenaga boleh baharu" kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Perdana Menteri pada Isnin menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Energy, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed yang diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke pejabat beliau di Putrajaya.

"Syarikat ini (Mubadala Energy) kini aktif dalam inisiatif tenaga boleh baharu dan penyahkarbonan melalui pelaburan dalam pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

"Dalam pertemuan ini saya dimaklumkan mengenai fokus dan kemajuan pelaksanaan pelaburan Mubadala Energy di Malaysia," kata Anwar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: