5,533 warga emas jadi mangsa scam

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 5,533 warga emas menjadi mangsa penipuan secara dalam talian dengan nilai kerugian lebih RM500 juta sejak 2021 hingga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah 6.4 peratus itu daripada 86,266 mangsa penipuan dalam talian yang dilaporkan bagi tempoh sama membabitkan jumlah kerugian RM2.7 bilion.

"Walaupun jumlah mangsa dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah, namun nilai kerugian dialami mereka amat tinggi," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Menurutnya, trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa atau 8.3 peratus adalah warga emas.

“Kerugian dicatatkan membabitkan mangsa warga emas mencecah RM130.4 juta atau 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471,5 juta dalam tempoh sama," katanya.

Tambah beliau, kajian turut mendapati, Seramai 2,631 warga emas adalah mangsa kepada penipuan jenayah telekomunikasi seperti phone scam, penyamaran dalam talian, penipuan SMS dan tawaran hadiah secara dalam talian.

“Trend yang sama dicatatkan bagi tahun ini sehingga 19 Mei, di mana daripada 990 mangsa warga emas yang direkodkan 39.4 peratus atau 390 daripadanya adalah membabitkan jenayah telekomunikasi," katanya.

Jelas beliau, rekod turut menunjukkan dalam tempoh tiga tahun juga jumlah kerugian membabitkan jenayah telekomunikasi dialami mangsa warga emas sebanyak RM181.7 juta daripada jumlah keseluruhan RM253.9 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagi tempoh tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula, jumlah kerugian oleh mangsa warga emas akibat taktik penipuan sama, mencecah RM26.4 juta daripada jumlah keseluruhan RM36.1 juta," katanya.

Ramli berkata, berbanding kesemua kategori jenayah dalam talian, jenayah telekomunikasi boleh berlaku terhadap mangsa yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan internet.

"Cukup hanya menggunakan telefon, sindiket penipuan boleh menghubungi dan menipu mangsa," ujarnya.

Beliau berkata, ia berbeza dengan lima kategori jenayah dalam talian yang lain yang memerlukan mangsa mempunyai kemahiran untuk melayari internet, menggunakan media sosial dan seumpamanya.

“Maka, atas sebab itulah ramai warga emas menjadi mangsa kepada jenayah telekomunikasi berbanding jenayah dalam talian yang lain,” katanya.

Tambah beliau, jenayah telekomunikasi adalah kategori jenayah boleh dicegah dan dielakkan seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan berwaspada dengan kemungkinan berlakunya jenayah tersebut.

“Maka, kita menyeru agar maklumat jenayah komersil khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat disampaikan kepada warga emas khususnya ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga dan sebagainya.

“Setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran jenayah komersil agar kita dapat membentuk satu komuniti yang selamat dan terhindar dari menjadi mangsa ‘scammer’,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!