[VIDEO] Che’gu Bard fail rayuan perintah larangan bersuara

A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che’gu Bard, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Khamis lalu, berhubung perintah larangan bersuara yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini dan Johor Bahru.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Che’gu Bard, 45, berkata, ia berhubung dua kes memfitnah dan menghasut, yang akan merosakkan nama Yang di-Pertuan Agong, (di Kuala Lumpur) serta satu kes menghasut berkaitan projek kasino di Forest City (Johor Bahru).

Bagaimanapun, beliau berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh pendengarannya bagi permohonan tersebut.

“Walaupun kebebasan bersuara adalah tidak mutlak, tapi pada kami, seseorang tertuduh mesti diberi cukup ruang (untuk membuat kenyataan).

“Kita minta arahan daripada Mahkamah Rayuan, sama ada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Kuala Lumpur betul atau sebaliknya, dari segi undang-undang.

Muhammad Rafique berkata demikian ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah di sini pada Isnin, selepas sebutan semula kes memfitnah dan menghasut, di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, sebahagian besar dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Menurutnya, terdapat beberapa dokumen sahaja belum disampaikan kepada tertuduh maka beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Julai depan bagi tujuan tersebut.

Che'gu Bard (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Che'gu Bard (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Che'gu Bard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkaitan kes fitnah jenayah yang dihadapinya.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengeluarkan perintah sama pada Isnin minggu lalu, berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri.

Dia didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook, atas nama 'Chegubard', di Taman Bukit Cheras, pada jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu, mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya Bersatu Johor itu dituduh mengeluarkan kenyataan fitnah, yang mana dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Agong, di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, pada jam 6 petang, 22 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sementara di Johor, dia didakwa membuat penerbitan menghasut akaun Facebook di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang 26 April lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!