Bahana ketagih vape campur boleh jadi 'gila'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketagihan vape kini berada pada tahap membimbangkan apabila trend menunjukkan berlakunya ketagihan melampau sehingga terdapat kes yang terpaksa dirujuk untuk rawatan psikiatri.

Keadaan itu berlaku disebabkan kesan daripada pengambilan campuran cecair vape tanpa kawalan melibatkan sumber dadah yang mudah didapati dalam pasaran.

Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Profesor Madya Dr Mohd Rusdi Abd Rashid berkata, ada yang dimasukkan ke wad psikiatri kerana menjadi psikotik seperti delusi dan berhalusinasi.

UMCAS dan Perdim bekerjasama dengan Lumelife untuk rawatan ketagihan rokok dan vape di bawah Akses Rangka Kerja Perubatan untuk pegawai perubatan di Malaysia
UMCAS dan Perdim bekerjasama dengan Lumelife untuk rawatan ketagihan rokok dan vape di bawah Akses Rangka Kerja Perubatan untuk pegawai perubatan di Malaysia

"Setelah stabil di wad, pesakit-pesakit memberitahu ada yang mengambil cecair vape seperti 'mushroom', batu, ganja, ketum dan bermacam lagi cecair yang ditambah kepada cecair nikotin vape," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rusdi menambah, ramai perokok tegar bertukar kepada 'vaping' kerana percaya mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, jantung dan strok.

Jelasnya, produk vape juga mengandungi nikotin dan pelarut pelbagai perisa yang boleh menyebabkan ketagihan serta membahayakan kesihatan, namun belum dibuktikan melalui kajian menyeluruh.

Sehubungan itu beliau menegaskan, kawalan terhadap produk vape perlu dilakukan dengan memasukkan semula dalam akta racun sama seperti rokok dengan kadar segera bagi mencegah penjualan kepada 18 tahun ke bawah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan perlu mengawal agar tidak boleh ditokok tambah cecair nikotin sedia ada.

"Cecair nikotin dan pelarut atau perisa mestilah dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan).

“Alat peranti mestilah memenuhi kriteria pihak KKM untuk memastikan keselamatan pengguna vaping," katanya.

Ditanya adakah ketagihan vape boleh dirawat, beliau berkata, terdapat kaedah rawatan secara holistik melalui preskripsi penggunaan Produk Nikotin Vaping (NVP) bagi tujuan merawat ketagihan rokok dan vape.

Bagi tujuan tersebut, UMCAS dan Persatuan Kedoktoran Islam Malaysia (Perdim) bekerjasama dengan pembekal produk medical vape pertama di dunia, Lumelife yang berkongsi kepakaran dalam bentuk latihan kepada pegawai perubatan di Malaysia.

"Ini adalah rawatan holistik dan menyeluruh di mana perokok tegar dipresripsi rawatan vape mengandungi cecair dos nikotin mengikut tahap ketagihan selepas penilaiaan oleh doktor yang merawat.

"Doktor bersama pasukan kesihatan juga membantu perokok semasa proses rawatan atau 'quit smoking journey' termasuk khidmat nasihat, kaunseling dan perawatan komplikasi kesihatan akibat merokok," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!