[VIDEO] Penaja utama KDA FC diumum serentak pelancaran jersi Julai ini

A
A
A

PENAJA utama Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi musim 2024-2025 masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka diumumkan serentak dengan pelancaran jersi baharu skuad Sang Kenari itu yang dijangka berlangsung awal Julai depan.

Pemilik majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, dalam tempoh dua minggu lepas, ramai pihak tampil untuk berbincang dan memberikan maklum balas positif untuk bekerjasama serta menjadi penaja kelab tersebut.

Menurutnya, perkembangan itu memberikan harapan besar kepada pengurusan KDA FC untuk terus bekerja kuat kerana semua perbincangan berkenaan sudah berada pada fasa akhir.

Mohd Daud (tengah) bersama wakil tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa selepas pelancaran Program Perekonomian KDA FC pada Ahad.
Mohd Daud (tengah) bersama wakil tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa selepas pelancaran Program Perekonomian KDA FC pada Ahad.

“Saya sentiasa berhubung dengan mereka, bukan sahaja penaja utama tetapi penaja kedua, ketiga, keempat dan semuanya kerana mereka sangat penting untuk KDA FC. Mereka penting untuk bantu kelab supaya terus stabil dan lestari.

"Saya yakin dalam sekejap masa sahaja lagi kita boleh umum. Sekarang semuanya dalam peringkat akhir, kita mahu umum nama penaja semasa pelancaran jersi yang dijangka awal bulan Julai nanti," katanya pada sidang akhbar, Ahad.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Daud hadir pada pelancaran Program Perekonomian KDA FC melibatkan tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa di Pejabat KDA FC di sini.

Menurutnya, tiga syarikat tersebut menawarkan pelbagai produk dan kerjasama itu juga memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

"Kita harap penyokong dapat membeli produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini yang mana setiap pembelian itu, kelab akan menerima komisen.

"Setakat ini kita sudah ada lebih 10 penaja dan hari ini, kita umumkan secara rasmi tiga syarikat ini dahulu.

"Sebelum ini kita banyak dapat penajaan secara 'one-off' tetapi kali ini kita lebih fokuskan kepada penajaan dan perkongsian komisen," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!