15 mat rempit 'terciduk' di Lebuhraya Guthrie

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, Sungai Buloh pada Sabtu.
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, Sungai Buloh pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Lagak 15 mat rempit yang menjadikan Lebuhraya Guthrie, di sini sebagai 'litar' pamer aksi memakan diri selepas ditahan polis pada Sabtu.

Op Samseng Jalanan bermula jam 10 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mereka yang ditahan berusia 17 hingga 26 tahun.

Menurutnya, operasi dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah memeriksa 242 motosikal.

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, Sungai Buloh pada Sabtu.
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, Sungai Buloh pada Sabtu.

"Sepanjang operasi ini, 15 penunggang motosikal ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Kesemua mereka bersama motosikal telah dibawa ke IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas mengenai operasi itu, beliau berkata, operasi terbabit dijalankan bagi membanteras samseng jalanan yang semakin berleluasa di Lebuhraya Guthrie.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil pemeriksaan 242 motosikal, sebanyak 222 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutamanya tiada lesen memandu.

"Polis telah menyita 39 motosikal atas kesalahan ubah suai, cukai jalan tamat tempoh selain penunggang tiada lesen memandu," ujarnya.

Pada masa sama, katanya lagi, seorang individu ditahan di bawah Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor plat milik kenderaan lain.

"Selain itu, ujian saringan air kencing turut menahan seorang individu yang didapati positif dadah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!