Empat pusat hiburan diserbu, 13 GRO ditahan

Polis menyerbu empat buah pusat hiburan di Jalan Chulan pada Ahad.
Polis menyerbu empat buah pusat hiburan di Jalan Chulan pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di empat pusat hiburan di Jalan Chulan, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua wanita berusia 19 tahun hingga 45 tahun itu ditahan pada jam 1.30 pagi hingga jam 2.15 pagi.

"Seramai 87 individu terdiri daripada empat pengurus premis, 37 pengunjung, 33 pekerja dan 13 wanita warga asing diperiksa.

"Hasil siasatan yang dijalankan kesemua empat pengurus premis terdiri daripada warga tempatan berusia 26 hingga 60 tahun serta 13 wanita warga asing ditahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noor Dellhan berkata, kesemua wanita itu disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan bagi tujuan bekerja sebagai GRO.

"Kita turut merampas peralatan muzik iaitu tiga monitor, dua mikrofon 'receiver', empat mikrofon, sebuah audio mixer, dua digital audio, tiga set pembesar suara dan empat amplifier," katanya.

Katanya, kesemua pengurus ditahan reman selama sehari bagi tujuan siasatan lanjut, manakala wanita warga asing ditahan reman 14 hari dibawah Seksyen 55B, Akta Imigtesen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, ditalian 03-26022222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!