Buku Yasmin dan Adam dilancarkan, tumpu anak autisme - Fadhlina

Fadhlina (tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan buku Yasmin dan Adam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto: Bernama
Fadhlina (tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan buku Yasmin dan Adam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini melancarkan buku cerita dan ilustrasi bertajuk Yasmin dan Adam yang menumpukan kepada pengenalan sifat keunikan dan keistimewaan kanak-kanak autisme.

Menurutnya, buku yang dicetuskan daripada idea asal beliau itu diterbitkan bagi memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun dan peringkat prasekolah.

"Buku ini adalah penghargaan kepada murid-murid berkeperluan khas yang sangat dekat di hati saya. Buku ini telah mendapat tumpuan khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri iaitu disemak dan dipastikan kandungan, bahasa dan aktivitinya agar ia sesuai dengan golongan itu.

"Ciri-ciri di dalam buku ini sesuai untuk kanak-kanak austisme adalah kerana bahasa, keserasian, aktiviti dan pengenalan khusus untuk ibu bapa yang ingin memperkenal dan meningkatkan kesedaran mengenai perbezaan golongan itu dengan rakan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku tersebut dan Sesi Ceritalah Lagi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini. Turut hadir Sasterawan Negara ke-14, Datuk Dr Siti Zainon Ismail.

Fadhlina berkata, buku bergambar setebal 32 muka surat berharga RM15, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mendapat sokongan Bahagian Pendidikan Khas KPM bertujuan menonjolkan pengkaryaan golongan muda.

"Hari ini, bersama saya adalah penulis buku Nurshuhada Abdullah, seorang anak muda yang cukup kreatif dan banyak membantu menghasilkan karya ini. Karya anak muda diangkat dan bakat mereka dapat dipertontonkan selain mesej yang disampaikan amat penting,” kata Fadhlina.

Menurut beliau penghasilan buku cerita dan ilustrasi itu bermula sejak setahun lepas ketika beliau mula menerajui KPM dengan tumpuan khas diberikan terhadap agenda kanak-kanak dan pelajar berkeperluan khas.

Artikel Berkaitan:

"Pemilihan tajuk buku ini signifikan kerana Yasmin merupakan nama anak bongsu saya yang banyak memberikan inspirasi dan amat rapat dengan saya. Sementara Adam pula, nama yang biasa kita dengar dalam mana-mana kelas,” katanya.

Mengulas PBAKL 2024 yang berlangsung selama 10 hari bermula 24 Mei sehingga 2 Jun, Fadhlina berkata, hari pertama pesta itu dihadiri 140,000 pengunjung manakala pada hari kedua meningkat kepada 200,000 pelawat dengan lebih 80 peratus adalah orang muda.

"Terdapat peningkatan rakyat Malaysia membaca dalam setahun iaitu daripada 14 kepada 24 buku dan ciri-ciri bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!