Kreativiti, manusiawi dan seni kelemahan diri

Kreativiti, manusiawi dan seni menerima kelemahan diri sesungguhnya wajar dijadikan sandaran dalam mengharungi siri cabaran. Foto hiasan/123RF
Kreativiti, manusiawi dan seni menerima kelemahan diri sesungguhnya wajar dijadikan sandaran dalam mengharungi siri cabaran. Foto hiasan/123RF
A
A
A

BAGAIMANA seseorang pengarang kreatif memanfaatkan kreativitinya dalam proses berkarya? Apakah hubungan antara kreativiti dengan manusiawi dalam penghasilan sesebuah karya sastera?

Sejauh mana pula kreativiti dan manusiawi saling bergandingan dalam menyempurnakan sebuah karya yang bermutu untuk dihidangkan kepada pembaca dan akhirnya seni kelemahan diri hadir sebagai perenungan.

Menerusi hasil karya dihidangkan kepada pembaca, tentu sekali gandingan kreativiti dan manusiawi saling memerlukan.

Hal itu kerana dalam karya sastera terpancar kisah tentang sisi kehidupan yang akan membangunkan siri kemanusiaan sebagai pengajaran kepada pembaca.

Paling penting, kreativiti yang dipundakkan kepada penulis itu bukan hanya memperagakan kisah realiti semasa, bahkan menawarkan serangkum insan dan ihsan yang bermukim dalam diri setiap pembaca.

Justeru, seraut kasih sayang bertunjangkan ketuhanan yang hakiki untuk menggapai makna manusiawi sebenar-benarnya wajar diberikan perhatian untuk melunaskan kreativiti pengarang.

Bermakna, penulis menghidangkan pembacanya dengan pertalian hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas), tanpa meminggirkan hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta (habl min ALLAH).

Apakah yang dikatakan seni menerima kelemahan diri dalam konteks kreativiti dan manusiawi bergandingan dalam menghasilkan sesebuah karya? Pertama, seni menerima kelemahan diri bukan hanya tertumpu sama ada kepada penulis atau pembaca, namun sewajarnya disandang kedua-duanya.

Kedua, seni menerima kelemahan diri merupakan peranan dua kata kunci iaitu ‘kemampuan’ dan ‘keupayaan’ kedua-duanya iaitu penulis serta pembaca.

Artikel Berkaitan:

Sejauh mana kedua-duanya iaitu penulis dan pembaca dapat menerima hakikat kemampuan serta keupayaan yang ada dalam diri masing-masing.

Apabila kedua-duanya menerima hakikat kemampuan dan keupayaan masing-masing, maka menyerlahkan hubungannya dengan manusia serta hubungan dengan Yang Maha Pencipta.

Ketiga, seni menerima kelemahan diri juga merupakan sesi muhasabah sama ada kepada penulis atau pembaca tatkala mengulit karya sastera.

Sejauh mana penulis dan pembaca akan memperoleh iktibar daripada kisah yang ditelaah serta menjadikannya sebagai perenungan dalam membangunkan diri yang serba kekurangan dan banyak kekhilafan.

KEMATANGAN

Lantaran manusia hanyalah hamba yang menumpang di bumi Tuhan, pasti banyak yang perlu dipelajari dan diperbetulkan. Penulis pasti belajar daripada karya dihasilkannya sejajar dengan pertumbuhan usia dan pertambahan masa.

Dalam konteks ini, kematangan seseorang sama ada penulis atau pembaca akan dapat menilai diri sendiri dan berusaha membaikinya.

Bagi penulis, pengalaman berkarya menunjukkan kematangannya. Adakah hasil karya pertama sama mutunya dengan hasil karya kedua, ketiga dan seterusnya? Bagi pembaca pula, pengalaman membaca pelbagai karya yang ditulis oleh kelainan pengarang tentu menebarkan motivasi dan inspirasi berbeza-beza.

Mungkin apabila membaca karya penulis A, pengajarannya hanya berbentuk lahiriah, namun tatkala membaca karya penulis B, perutusannya bersifat maknawi.

Maka dalam konteks ini, seni menerima kelemahan diri akan menyerlahkan kedudukan setiap penulis dan kelompok pembaca berdasarkan kemampuan serta keupayaan masing-masing menanggap, mentafsir dan menaakulnya.

Bagi penulis, proses menghasilkan sesebuah karya tentu mendepani pelbagai cabaran dan kekangan. Hanya dengan kesabaran dan ketekunan akan memperkasa diri untuk tekal berkarya.

Sementelah apabila menyedari kelemahan diri, pasti pengarang tersebut berusaha membaikinya. Maka, salah satu daripadanya dengan menambah ilmu dan belajar tanpa jemu.

Apabila setiap penulis dapat menerima seni kelemahan diri yang wujud, apalagi yang perlu dilakukan? Tentu sekali berusaha menjadi penulis yang lebih baik dan terbaik daripada kekurangan itu.

Kreativiti dibangunkan bersama-sama dengan manusiawi yang berpaksikan habl min al-Nas, malahan meletakkan habl min ALLAH sebagai keutamaan pastinya akan membenihkan seni kelemahan diri secara serentak terhadap seseorang pengarang.

Hal itu berpandukan keupayaan pengarang mengajukan nilai-nilai luhur kepada pembacanya dan pada masa sama menyedari kelemahan diri bahawa keterbatasannya sebagai hamba Tuhan.

Tanpa ilham yang dikurniakan oleh ALLAH Ya Musawwir (Yang Maha Pencipta), pasti seseorang pengarang tidak mampu untuk menghasilkan sesebuah karya yang dapat menebarkan inspirasi kepada pembaca.

PENGAJARAN

Berdasarkan hasil karya tersebut, tentunya dapat memuatkan pengajaran kepada pembaca dalam berdepan dengan selirat kelibut dan kemelut kehidupan. Malah, dengan pemaparan kisah yang berkisar tentang nilai-nilai murni dapat menyumbang kepada keinsafan pembaca. Maka, seni kelemahan diri turut tersisip berpandukan keupayaan pembaca menaakul hasil karya ditulis pengarang.

Pembaca menyedari kemampuannya sebagai seorang pembaca yang memiliki ilmu terbatas dan berupaya membangunkan dirinya untuk memperoleh iktibar sebagai panduan serta pedoman dalam menelusuri kehidupan.

Kreativiti, manusiawi dan seni menerima kelemahan diri bukan sekadar menawarkan hubungan saling bergandingan antara ketiga-tiganya, bahkan memperlihatkan suatu hubungan harmonis dalam menyatukan kepentingan sastera sebagai penyembuh jiwa.

Di situ menyerlahkan peri pentingnya tanggungjawab masing-masing di pundak dengan sarat perjuangan, kebenaran dan kesabaran. Kreativiti, manusiawi dan seni menerima kelemahan diri sesungguhnya wajar dijadikan sandaran dalam mengharungi siri cabaran di alam Tuhan ini.

Selamat membaca dan merenungi karya sastera dengan kematangan serta kebijaksanaan!

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia