‘Ini bukan keputusan yang kami jangkakan’

Pearly-Thinaah ketika menentang Yu-lim - Seung-chan pada aksi separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pearly-Thinaah ketika menentang Yu-lim - Seung-chan pada aksi separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah melebarkan kemarau kejuaraan Siri Jelajah Dunia selepas ditunjukkan jalan keluar di separuh akhir Malaysia Masters pada Sabtu.

Pemain nombor 13 dunia Pearly-Thinaah, yang kali terakhir menjulang kejuaraan Terbuka Perancis pada Oktober 2022, mengalami kekalahan 16-21, 11-21 kepada pilihan keenam Lee Yu-lim-Shin Seung-chan dari Korea Selatan selepas bertarung selama 45 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menanti Lee-Shin dalam perlawanan akhir pada Ahad ialah pilihan utama Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun, yang menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-14, 21-16 dalam satu lagi separuh akhir.

Naib juara edisi lalu, Pearly-Thinaah yang telah menewaskan wakil Korea semasa pertemuan di Japan Masters tahun lalu, mengakui kepantasan lawan bertambah baik mengejutkan mereka dalam perlawanan tersebut.

“Secara fizikal semuanya baik, cuma dari segi strategi yang perlu kami usahakan.

"Pukulan mereka kuat menjadikan mereka sukar untuk dilawan dengan kedudukan yang bagus.

"Sebenarnya kami agak teruja untuk kembali ke gelanggang kerana sudah agak lama sejak Kejohanan Asia pada tahun awal April.

“Perkara positifnya ialah, kami mendapat lebih banyak komunikasi di gelanggang, kami berbincang sesama sendiri walaupun ada masalah.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir ini adalah perkara yang baik yang kami pelajari daripada kejohanan ini.

"Kami mempunyai beberapa hari lagi untuk kejohanan seterusnya, kami hanya mahu lebih konsisten,” kata Pearly.

Sementara itu, Thinaah mengakui komunikasi adalah penting dan mereka perlu memikirkan semula strategi masing-masing dan fokus menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

“Ini bukan keputusan yang kami jangkakan, tetapi lawan juga bermain dengan baik hari ini.

"Kerana hanya kami berdua di gelanggang, hanya kami berdua yang boleh memberitahu satu sama lain tentang perasaan dan apa yang berlaku di gelanggang, jadi harap kekalkan perkara ini.

"(Komunikasi) berjalan dan lebih baik lagi, sambil berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Selepas ini, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, dijadualkan beraksi di Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia minggu depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!