'Tindakan Norizam boleh bunuh TRW' - Piya

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KEMUSNAHAN dibawa pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ke atas pasukan itu bakal membunuh jenama The Red Warriors (TRW) dari arena bola sepak tempatan.

Itu termasuk keputusan terbaharu penarikan diri pasukan dari Liga Al Semi-Pro di bawah Pertandingan MBSB Bank Championship 2024 pada Jumaat.

Bekas ketua pasukan Kelantan FC, Mohd Badhri Radzi atau Piya berkata, beliau amat kecewa di bawah pemilik berkenaan sehingga pasukan tersebut tidak lagi berada dalam barisan Liga Malaysia.

Beliau turut mendesak supaya Norizam melepaskan pasukan terbabit demi menyelamatkan sisa-sisa kepincangan yang tinggal.

“Amat kecewa dan terkilan hingga TRW jadi seperti sekarang.

“Tindakan Norizam boleh bunuh TRW. Kalau tak mampu dan dah tak boleh, baik lepas pasukan. Bagi kepada orang lain pula, ramai lagi orang nak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Piya menegaskan, TRW adalah sebuah pasukan gah satu ketika dahulu dan rekod pemilik Norizam antara yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah pasukan bola sepak berkenaan.

“Beliau membuat pasukan Kelantan FC seteruk ini dengan pelbagai janji yang tidak tertunai.

Artikel Berkaitan:

“Mana maruah beliau? Saya merayu supaya beliau segera lepaskan pasukan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kelantan FC ditendang daripada saingan Liga Super selepas mempunyai tunggakan gaji pemain selain kes di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

The Red Warriors (TRW) itu kemudiannya mengalihkan tumpuan untuk menyertai Liga A1 Semi-Pro dengan pentadbir Liga Bolasepak Amatur (AFL) memberikan syarat untuk Kelantan mendaftarkan minimum 20 pemain.

Namun, skuad Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut gagal untuk memenuhi syarat tersebut sekali gus menyaksikan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengumumkan pasukan itu menarik diri daripada saingan liga.

Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham mengambil keputusan itu untuk terlebih dahulu menyelesaikan kes FIFA selain melunaskan gaji para pemain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!