Ensiklopedia Solat Sunat dilancar selepas 20 tahun proses semakan

Zulkifli menurunkan tandatangan ke atas replika buku Ensiklopedia Solat Sunat disaksikan Pengurus Hal Ehwal Agama Dan Penerbitan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Ahmad Yani Abd Manaf (kiri).
Zulkifli menurunkan tandatangan ke atas replika buku Ensiklopedia Solat Sunat disaksikan Pengurus Hal Ehwal Agama Dan Penerbitan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Ahmad Yani Abd Manaf (kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah 20 tahun melalui proses susunan dan semakan, akhirnya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan buku Ensiklopedia Solat Sunat pada Sabtu.

Menurut beliau, buku itu sarat dengan kandungan berfakta, maklumat yang disaring berdasarkan sumber terpercaya agar ia benar dan sahih.

Zulkifli ketika majlis pelancaran buku Ensiklopedia Solat Sunat di Pentas Dunia Ilmu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena PBAKL 2024 pada Sabtu.
Zulkifli ketika majlis pelancaran buku Ensiklopedia Solat Sunat di Pentas Dunia Ilmu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena PBAKL 2024 pada Sabtu.

"Sejarah membuktikan generasi salafussoleh sangat menjaga solat. Bukan semata-mata solat fardhu bahkan sembahyang sunat seperti Qiamullai yang dijaga bersungguh-sungguh.

"Cukuplah apabila pengintip tentera Rom menyampaikan kepada panglima mereka ramuan kejayaan tentera Islam adalah kerana mereka umpama rahib pada waktu malam dan panglima gagah perkasa pada siang hari.

"Justeru tidaklah pelik mereka beroleh kejayaan gilang gemilang," katanya ketika majlis pelancaran buku Ensiklopedia Solat Sunat di Pentas Dunia Ilmu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di sini.

Jelas Zulkifli, ensiklopedia tersebut mengandungi perbahasan lengkap mengenai solat sunat yang dijelaskan dengan dalil serta kaifiatnya.

Zulkifli menandatangani buku yang dibeli pengunjung PBAKL 2024 pada Sabtu.
Zulkifli menandatangani buku yang dibeli pengunjung PBAKL 2024 pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, naskhah berkenaan mengemukakan galakan dan kelebihan solat-solat sunat berdasarkan kepada ayat al-Quran serta hadis Nabi SAW.

"Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu solat sunat yang dilakukan secara berseorangan dan berjemaah serta khilaf antara keduanya.

"Antara solat sunat yang dibincangkan seperti rawatib, tahajjud, wuduk, istikharah, musafir, nikah, tarawih, gerhana, itisqa’, tasbih dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap bahan bacaan tersebut boleh menjadi rujukan buat orang ramai untuk meningkatkan amalan solat sunat bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Buku Ensiklopedia Solat Sunat boleh didapati di ruang reruai Karangkraf di Tingkat 3 sempena PBAKL 2024 ini dengan pelbagai diskaun menarik atau dapatkannya secara dalam talian melalui www.karangkrafmall.com.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!