Pemilik kenderaan diesel kena daftar

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar-pakar ekonomi bersetuju bahawa mekanisme pengagihan subsidi diesel kepada golongan sasaran melalui e-Dompet atau kad khas wajar digunakan bagi memastikan matlamat penyelarasan subsidi bahan api itu tercapai.

Pakar Ekonomi University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, syarat tambahan juga perlu ditetapkan bukan hanya melibatkan pendaftaran maklumat individu, tetapi juga pendaftaran kenderaan bermotor diesel yang digunakan.

Menurutnya, tanpa penetapan pendaftaran kenderaan, dikhuatiri berlaku ‘penyeludupan’ domestik yang akhirnya dimanfaatkan oleh pihak yang tidak layak.

“Kita sudah ada data LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan melalui PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) sendiri untuk tentukan siapa yang layak, dengan syarat mereka menggunakan kenderaan bermotor diesel.

“Melalui kad khas yang diberikan, hanya kenderaan berdaftar sahaja dibenarkan untuk guna kad subsidi diesel ini. Barulah sasarannya benar-benar mendapat manfaat, dan peniaga juga tak boleh beri alasan naikkan harga jualan sebab tanggung kos diesel,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman yang menyarankan kerajaan agar menyalurkan subsidi diesel melalui medium khas yang hanya boleh diakses masyarakat penjaja dan peniaga kecil, sebagai mekanisme memastikan bantuan tunai yang diberikan hanya dibelanjakan untuk bahan api tersebut demi mengawal kenaikan harga jualan.

Medium yang dicadangkan adalah platform In2Niaga dilancarkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yang bercirikan e-Dompet dan kad debit.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selain e-Dompet, saluran juga boleh dibuat melalui MyKad.

Artikel Berkaitan:

“Saya melihat kaedah pengagihan yang lebih sesuai ialah melalui e-Dompet dan MyKad kerana ia lebih mudah dan cepat dilaksanakan oleh kerajaan.

“Jika peniaga naikkan harga, pelanggan boleh buat laporan kepada kementerian yang akan mengambil tindakan ke atas peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!