Wanita hampir hilang mata

Kanta lekap yang telah tercemar berbahaya kepada kornea mata. Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Kanta lekap yang telah tercemar berbahaya kepada kornea mata. Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkara terpengaruh dengan trend memakai kanta lekap murah di platform dalam talian, seorang wanita hampir hilang penglihatan akibat terkena jangkitan kuman pada kornea matanya.

Menurut Farah, 23, kedua-dua belah matanya mengalami kegatalan seolah-olah berpasir dan tidak selesa selepas memakai kanta lekap tersebut selama sembilan jam.

Ujarnya, keadaan itu memaksa dia pergi ke hospital dan ditahan selama tiga hari untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

“Saya beli kanta lekap itu di TikTok kerana terpengaruh dengan rakan disebabkan ulasan yang memberangsangkan. Saya tidak fikir panjang dan terus membelinya kerana ingin mencuba.

“Akibatnya mata saya bengkak dan merah sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terlalu sakit dan susah nak buka.

“Nasib baik saya tidak buta kerana kanta lekap yang digunakan tidak disteril dengan betul menyebabkan ia terdedah kepada kuman,” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Sementara itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Atikah memberitahu, dia mengalami luka pada saraf mata selepas memakai kanta lekap murah, menyebabkan penglihatannya kabur.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, selepas sehari keadaan penglihatan mulai kabur dan dia cuba memakai cermin mata, namun keadaan tersebut tetap sama malah ujian penglihatan juga menunjukkan dia gagal mengenal huruf.

Ujarnya, keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa dibawa ke hospital dan pada waktu itu kedua-dua belah matanya tidak mampu dibuka apatah lagi melihat cahaya kerana terlalu sakit.

Ulasnya, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan luka pada kornea mata dan terpaksa menjalani pemeriksaan berkala sehingga ia sembuh.

“Sebelum ini saya pernah pakai kanta lekap tetapi jarang sangat pakai dan pernah juga beli di kedai optometri, tetapi kali ini tidak bernasib baik kerana beli di kedai biasa sehingga terkena macam ini.

“Selepas doktor periksa dan titiskan ubat terdapat kesan luka di kornea mata. Luka pada mata kiri dan kanan tetapi bahagian luka paling besar di bahagian kanan.

“Jangan pakai kanta lekap sebarangan kerana ramai sudah terkena ulser mata dan berkudis. Lebih baik pakai cermin mata,” katanya.

Menurut portal MyHealth, komplikasi berbahaya penggunaan kanta lekap ialah jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea. Ia menyebabkan mata merah, kegatalan, rasa tidak selesa dan seterusnya mengakibatkan buta.

“Ulser kornea berlaku apabila kuman menjangkiti mata pemakai kanta lekap yang tidak menjaga kebersihan dan tidur tanpa menanggalkan kanta lekap,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!