Tingkat ketegasan, susun semula strategi atasi masalah ketirisan

Laporan muka depan Sinar harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketirisan hasil cukai ekoran sindiket penyeludupan, pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup akhirnya memberi kesan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi cabaran ekonomi pada masa ini.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel berkata, masalah berkenaan bukan isu ‘mentah’ sebaliknya perkara yang berlaku seolah-olah tiada kesudahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa yang terlibat khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mempertingkatkan ketegasan serta konsisten dalam setiap tindakan dilakukan.

“Ketirisan berlaku apabila pegawai bertugas tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sehingga sanggup mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh jabatan semata-mata mahu mengejar kesenangan.

“Mereka (pegawai) perlu memikul amanah diberikan dengan bertindak tegas apabila ada mana-mana pihak yang cuba meminta ‘bantuan’ untuk lolos daripada dikenakan cukai,” katanya kepada Sinar Harian. Hamdan turut menegaskan bahawa SPRM tidak boleh berpuas hati dengan tangkapan sedia ada, sebaliknya pihak berkuasa itu perlu menyusun semula strategi yang lebih berkesan.

Katanya, tangkapan itu secara tidak langsung menjadi petanda bahawa jenayah rasuah masih berlaku di Malaysia walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu menekankan perihal membanteras salah laku tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan bahawa SPRM melakukan kerja (berjaya menahan salah laku rasuah), tetapi mereka perlu mengkaji formula baharu dengan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar, bekas penjawat awam atau mana-mana individu yang berkaitan.

“Di sebaliknya menyusun semula strategi dan mengkaji formula baharu, ia secara tidak langsung dapat menjayakan sasaran negara untuk menduduki tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” ujarnya. Bagaimanapun, Hamdan menegaskan bahawa segala usaha dalam membendung jenayah rasuah tidak akan dapat dijayakan sekiranya pegawai penguat kuasa itu tidak memiliki iltizam.

Artikel Berkaitan:

“Mereka perlu menanam dalam diri akan kepentingan dan amanah yang diberikan kerana kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjatuhkan maruah institusi malah memberi kesan kepada rakyat dan negara,” tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!