Penyertaan Malaysia dalam rundingan antarabangsa demi kepentingan kesihatan awam

Dr Dzulkefly.
Dr Dzulkefly.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menegaskan penyertaan Malaysia dalam dua platform rundingan antarabangsa adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan kesihatan awam negara.

Platform itu adalah Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) bagi menghasilkan instrumen antarabangsa dikenali sebagai Perjanjian Pandemik serta Kumpulan Kerja Mengenai Pindaan Kepada IHR (WGIHR) untuk membuat pindaan bersasar terhadap Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Dalam kenyataan hari ini, Dr Dzulkefly berkata, rundingan antarabangsa bagi menghasilkan instrumen perlu mematuhi tiga prinsip utama iaitu kedaulatan iaitu kedaulatan negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dipastikan tidak akan disentuh.

Prinsip lain adalah kesamarataan (equity) iaitu negara maju perlu membantu negara membangun bagi menjamin agihan sumber seperti produk kesihatan berkaitan pandemik adalah adil dan saksama, serta tidak hanya dimonopoli oleh negara maju.

Sementara prinsip lain adalah pendanaan iaitu pewujudan mekanisme kewangan kecemasan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik tidak akan melibatkan sebarang dana tambahan.

"Proses rundingan ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara.

"Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya instrumen yang akan dimuktamadkan mengutamakan prinsip-prinsip asas yang dipertahankan terutamanya kedaulatan negara, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan bagi kerajaan menandatangani instrumen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga itu, kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan. KKM sentiasa meneliti dan memantau rundingan antarabangsa bagi pindaan bersasar IHR 2005 dan penyediaan Perjanjian Pandemik ini,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, beliau juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland untuk Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) pada 27 sehingga 31 Mei ini yang antaranya membincangkan perkembangan rundingan bagi Pindaan Bersasar IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.

"Untuk makluman, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama semua negara anggota dan Malaysia sebagai negara anggota, telah bersepakat untuk menubuhkan dua platform rundingan antarabangsa.

"Penubuhan kedua-dua platform ini adalah bagi memperkukuhkan aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan, serta respons terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik pada masa akan datang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua sesi rundingan itu diterajui sepenuhnya oleh negara anggota manakala WHO hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan adalah tertakluk kepada persetujuan negara anggota.

"Metodologi rundingan INB dan WGIHR yang sistematik dan komprehensif memberi peluang kepada setiap negara menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, WHO menyatakan bahawa Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepada WHO untuk mengarahkan atau memaksa sesebuah negara untuk mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan.

"Perkembangan terkini berkaitan kedua-dua rundingan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!