KBS kecewa insiden keganasan terhadap pemain bola sepak masih berlaku

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kecewa insiden keganasan yang membahayakan nyawa dan harta benda melibatkan pemain bola sepak tempatan masih berlaku.

Mengulas mengenai kejadian menimpa pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee yang berlaku Rabu lepas, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, insiden terbaharu itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan industri sukan tanah air.

"Perkara ini (insiden melibatkan Ahmad Khuzaimi) telah diserahkan kepada pihak berkuasa dan kita harap (siasatan) dapat dijalankan sebaiknya. Kita kecewa masih terdapat lagi kes di luar sana yang bahayakan harta benda dan nyawa (atlet).

"Kita telah menerima respons daripada FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan sebagainya. Kita harap agar perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Dua hari lepas, rumah Ahmad Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagramnya, Ahmad Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.

Adam Adli berkata, insiden keganasan itu secara tidak langsung akan merencatkan kemajuan sukan negara khususnya bola sepak.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya meminta persatuan-persatuan sukan untuk terus mempertingkatkan aspek keselamatan terhadap atlet masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap perkara ini tidak menjadi satu trend negatif ... kita terlalu risau aspek keselamatan ... kita akan pastikan perkara ini dapat dihentikan,” katanya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan kejadian membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid dipercayai dilakukan dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Satu lagi insiden membabitkan pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid mengalami kecederaan selepas dipukul di bahagian kepala dan kaki dengan menggunakan besi boleh laras dalam kejadian samun berhampiran kondominium kediamannya di Kuala Terengganu.

Selain itu, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!