Al-Karaji cetus fenomena kejuteraan hidraulik

Bukan sahaja mempelopori ‘mesin air’, tetapi juga hebat dalam bidang matematik

KEHEBATAN Al-Karaji dalam bidang kejuruteraan dan matematik diperakui ramai hinggakan banyak kitab tulisannya menjadi rujukan seantero dunia.
KEHEBATAN Al-Karaji dalam bidang kejuruteraan dan matematik diperakui ramai hinggakan banyak kitab tulisannya menjadi rujukan seantero dunia.
A
A
A

NAMA Al-Karaji atau Al-Karkhi mungkin kurang popular sebagaimana cendekiawan Muslim tersohor lain. Namun, jasa dicurahkannya tidak boleh dipadam dari lembaran sejarah.

Buktinya, walaupun terdapat banyak karyanya pernah hilang, namun masih ada jejak yang ditinggalkan. Seorang ilmuan bernama As-Samaw'al pernah memetik idea dan hujah Al-Karaji dalam kajiannya, aruhan bermatematik.

Menjejaki salasilahnya, pemilik nama sebenar Abu Bakar Muhammad Al-Karaji bin Al-Hasan begitu terkenal pada abad ke-10 Masihi. Figura asal Karaj, Iran itu merupakan ahli matematik terunggul pada zamannya.

Hasil pembacaan Sinar Islam Plus, terlalu sedikit kisah yang menceritakan riwayat hidup ilmuan hebat itu.

TEKNOLOGI pengurusan cecair yang canggih diperkenalkan oleh Al-Karaji sejak abad ke-10 telah melahirkan revolusi pertanian dalam penguasaan bidang hidrologi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
TEKNOLOGI pengurusan cecair yang canggih diperkenalkan oleh Al-Karaji sejak abad ke-10 telah melahirkan revolusi pertanian dalam penguasaan bidang hidrologi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Apa yang pasti, Al-Karaji semasa mudanya pernah merantau ke Baghdad dan memegang jawatan penting dalam pemerintahan era Buwaih (945-1055 Masihi) pada tahun 1011 Masihi.

"Kota Baghdad menjadi saksi kemunculan idea-idea genius Al-Karaji. Salah satu risalah penting tentang algebra, kitab Al-Fakhri yang mana karya ini didedikasikan untuk Menteri Baha'e Ad-Dawlah, Fakhr Al-Mulk yang juga penguasa Buyahid Baghdad.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ketika berada di puncak kerjayanya, beliau meninggalkan ibu kota Abbasiyah dan memilih untuk fokus dalam bidang teknikal seperti hidrologi dan hidraulik. Maka lahirlah kitab Ad-Dakwah Islamiyah dan Inbat al-Miyah al-Khafiya," katanya seperti dipetik menerusi portal berita berpengaruh di Indonesia, Republika.

Fokus hidrologi

Bermulalah episod Al-Karaji menjalankan penyelidikan saintifiknya dalam hidrologi apabila mendapat sokongan daripada pemerintah Islam, Abu Ghanim Ma'ruf bin Muhammad.

GAMBAR rajah dari karya Al-Karaji tentang idea teknologi 'mesin air' yang dicetuskannya.
GAMBAR rajah dari karya Al-Karaji tentang idea teknologi 'mesin air' yang dicetuskannya.

Akhirnya, terhasillah kitab Inbat al-Miyah al-Khafiya yang menjadi karya agungnya berkisarkan tentang cecair hidraulik.

Menurut laman web Hafizh On The Street, monumental agung itu turut membincangkan cara mendapatkan cecair yang ditemui di bawah tanah. Ia boleh digunakan untuk menggerakkan roda kehidupan ekonomi dan sosial.

"Buku yang ditulisnya sekitar tahun 1,000 Masihi itu dicetak semula pada era moden di Hayderabad, India pada tahun 1940, manakala edisi lain dikeluarkan pada tahun 1997 oleh Institut Manuskrip Arab di Kaherah, Mesir.

"Kitab berkenaan pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi oleh H Khadiv-Djam dan bahasa Perancis, masing-masing pada 1966 dan 1973 Masihi, selain terjemahan Itali," katanya.

Bukan itu sahaja, laman web tersebut turut menyebut, buku karangan Al-Karaji itu turut mengandungi nota biografi dunia, selain dilengkapi beberapa tanda dalam fenomena dunia dan memberi perhatian kepada penyelidikan kejuruteraan khususnya hidraulik.

"Ia turut merangkumi masalah penyediaan pelbagai kemudahan air bersih, mengawal pergerakan air dan penemuan pelbagai tekonologi hidrologi.

ILUSTRASI AL-KARAJI
ILUSTRASI AL-KARAJI

"Malah, teknologi pengurusan yang diperkenalkan oleh Al-Karaji adalah kaedah pengurusan cecair yang canggih bagi memastikan bekalan tersebut di bandar-bandar Islam moden melimpah-ruah supaya pembangunan bandar terus pesat," kata hafizhonthestreet.com.

Ternyata gagasan fikrah Al-Karaji itu mencetus fenomena. Ia sehinggakan Mohammed Abattouy dalam bukunya bertajuk 'Muhammad Al-Karaji: A Mathematician Engineer from the Early 11th Century' menyatakan, penguasaan teknologi enjin air dalam dunia Islam telah melahirkan revolusi pertanian berasaskan penguasaan dalam bidang hidrologi.

Dek kerana kepakarannya dalam bidang itu, teknologi air bawah tanah telah dibina di sekeliling bandar Isfahan di Parsi dengan mengalirkan air dari Sungai Zayandirud.

Ia kemudian dialirkan ke anak-anak sungai lain bagi kegunaan pertanian dan perumahan.

Demikian sistem air bawah tanah yang dikenali sebagai qanat yang dibina jurutera awam di negara berkenaan hasil cetusan Al-Karaji, sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan dalam menerusi upm.edu.my.

"Ilmuan Islam itu banyak menerangkan tentang kaedah pembinaannya sebelum ini.

"Teknologi ini amat berguna untuk mengelakkan berlakunya pengewapan air di padang pasir yang panas. Perancangan dan penyelenggaraan projek ini memerlukan penelitian yang rapi dan tersusun," katanya.

Kembangkan teori algebra

Suatu perkara menarik yang ramai tidak sedar, Al-Karaji antara individu terlibat dalam pembangunan teori algebra.

SEBAHAGIAN antara nukilan Al-Karaji dalam monumental agungnya yang menjadi rujukan ramai, al-Fakhri.
SEBAHAGIAN antara nukilan Al-Karaji dalam monumental agungnya yang menjadi rujukan ramai, al-Fakhri.

Benar, Al-Khawarizmi adalah pengasas ilmu algebra, tetapi Al-Karaji sebenarnya boleh dianggap individu pertama yang membebaskan algebra daripada operasi geometri.

"Malah, beliau juga orang yang bertanggungjawab menggantikannya dengan jenis operasi yang menjadi teras algebra hari ini.

"Namun, ada juga pandangan lain yang melihat kerja Al-Karaji hanyalah mengolah semula idea daripada ahli matematik terdahulu," katanya menerusi mathshistory.st-andrews.ac.uk.

Sesungguhnya, ketinggian ilmunya dalam bidang ilmu hisab itu tidak boleh disangkal lagi. Buktinya, terdapat kitabnya yang menjadi rujukan ramai.

Antaranya Al-Badi’ fil-hisab (perhitungan yang indah), Al-Fakhri fil-jabr wal-muqabala (aljabar yang agung) dan Al-Kafi fil-hisab (perhitungan yang memadai).

PROFIL

ILUSTRASI AL-KARAJI
ILUSTRASI AL-KARAJI

Nama penuh: Abu Bakar Muhammad bin Al Husain Al-Karaji

Nama panggilan: Al-Karaji dan Al-Karkhi

Asal: Karaj, Iran

Tahun kelahiran: 953 Masihi

Tahun kematian: 1029 Masihi

Karya agung:Al-Badi' fil-hisab, al-Kafi fil-hisab dan Al-Fakhri fil-jabr wal-muqabala

Sumbangan:

- Pakar dalam bidang hidrologi meliputi masalah penyediaan prasarana air bersih, pengendalian gerakan air dan penemuan pelbagai teknologi hidrologi.

- Dalam bidang matematik, ilmuan itu terlibat dalam pengembangan algebra dan memperkenalkan teori kalkulus algebra.