As-Sufi, ilmuan hebat ‘terukir’ di bulan

Gagasan fikrah dan ilmunya jadi rujukan ramai hingga ke hari ini

AS-SUFI merupakan ahli astronomi terawal merekodkan pemerhatian galaksi Andromeda pada 964 Masihi yang merupakan kejiranan galaksi Bima Sakti kita.
AS-SUFI merupakan ahli astronomi terawal merekodkan pemerhatian galaksi Andromeda pada 964 Masihi yang merupakan kejiranan galaksi Bima Sakti kita.
A
A
A

APABILA nama Azophi diabadikan pada salah satu kawah di bulan, umat Islam seharusnya berbangga. Penghormatan tersebut jelas mengiktiraf keringat cendekiawan Islam tersohor berkenaan dalam bidang astronomi.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa Azophi sekadar gelarannya sahaja. Di Barat, beliau dikenali dengan nama tersebut atau Azophi Arabus, sementelah dunia Islam pula memanggilnya sebagai As-Sufi.

Nama sebenar ilmuan itu ialah Abd Ar-Rahman bin Umar As-Sufi Abul Husayn yang dilahirkan di Ray, Iran pada 7 Disember 903 Masihi.

Menjejaki historiografinya, tidak banyak sumber menceritakan kisah hidupnya ketika kecil. Namun, portal Republika melaporkan, Azophi atau dikenali sebagai As-Sufi membesar di Kota Isfahan.

ANTARA penemuan As-Sufi yang dimuatkan dalam karya-karya agung nukilannya memberi gambaran jelas tentang buruj.
ANTARA penemuan As-Sufi yang dimuatkan dalam karya-karya agung nukilannya memberi gambaran jelas tentang buruj.

Dalam riwayat masyhur, cendekiawan Muslim abad ke-10 itu yang hidup di bawah pemerintahan Adud Ad-Dawla dikatakan tinggal di istana Buwayhid.

Figura hebat tersebut banyak menterjemah dan mengembangkan karya astronomi Yunani.

Artikel Berkaitan:

Antara literatur agung yang dialih bahasa oleh As-Sufi ke dalam bahasa Arab ialah buku bertajuk Almagest karya Ptolemy. Meskipun demikian, beliau tidak menterjemahnya bulat-bulat begitu sahaja.

Sebaliknya, ilmuan tersohor itu turut membuat kajian dan pembetulan, sekali gus melontarkan buah fikirannya sendiri.

Semua itu digarap dengan baik menerusi monumental terkenalnya iaitu kitab Suwar al-Awakib (The Book of the Constellations if the Fixed Stars) pada tahun 964 Masihi.

“Pengukuran As-Sufi berbeza daripada karya Ptolemy dari pelbagai faktor seperti kecerahan dan magnitud. Bahkan, dari satu sudut, As-Sufi dilihat mendahului Ptolemy dalam mengklasifikasikan bintang.

“Dia membahagikan kepada tiga kategori iaitu bintang kecil, sederhana dan besar, sekali gus membawa lebih ketepatan pada pengiraannya. Selain itu, beliau juga mengenal pasti banyak bintang lain yang tidak dilakukan oleh Ptolemy,” katanya sebagaimana dipetik menerusi science4fun.info.

Lukisan gambaran

Ternyata karya tersohornya itu bukan calang-calang. Jurnal.my melaporkan, inti pati buku berkenaan memerihalkan tentang pemerhatiannya ke atas bintang dan menggambarkan kedudukan, magnitud, kecerahan serta warna dan melukis setiap satu daripadanya.

Menerusi mahakaryanya itu, detik.com melaporkan, beliau menjadi individu pertama yang membuat catatan tentang galaksi Andromeda (buruj).

As-Sufi memberikan gambaran jelas tentang Andromeda dan memasukkan sebuah awan kecil di dalamnya sebelum diketahui bahawa ia merupakan Galaksi Andromeda M31, enam abad kemudian atau secara tepatnya, pada tahun 1612.

Satu lagi penemuannya yang mengagumkan apabila As-Sufi menjadi individu pertama menghubungkan bahasa Yunani dengan nama serta buruj bintang Arab tradisional.

“Penggabungan tersebut dianggap menakjubkan kerana sukar untuk dilakukan. Ini kerana bahasa Yunani dan buruj bintang Arab tidak berhubung antara satu sama lain dan bertindih dengan cara yang kompleks,” lapor portal detik.com.

ANTARA sebahagian kandungan yang terdapat dalam monumental agung milik ilmuan hebat, As-Sufi.
ANTARA sebahagian kandungan yang terdapat dalam monumental agung milik ilmuan hebat, As-Sufi.

Penemuan lain

Menjadi resam seorang ilmuan, As-Sufi turut menghasilkan karya lain yang tidak kurang pentingnya kepada masyarakat. Buku yang dimaksudkan berjudul al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar yang begitu unggul dalam astronomi stellar.

Dalam satu penulisan, kitab berkenaan dikatakan didapati dalam bahasa Arab dan turut diterjemah ke dalam bahasa Perancis oleh Schjellerup. Difahamkan, ia menjadi rujukan penting sehingga ke hari ini.

Memetik laporan The Patriots, terdapat 74 lukisan mini buruj yang dibuat penuh kehalusan dan ketelitian dalam kitab agung berkenaan.

Ia sekali gus menjadikan monumental tersebut sebagai manuskrip berilustrasi tertua yang menjadi fokus sarjana pada hari ini.

“Kitab itu menjadi rujukan para cendekiawan astronomi termasuk pemerintah Mavarannahr (nama lain bagi Transoxiana, Asia Tengah). Uzbekistan baru-baru ini merancang untuk memanfaatkan karya itu sebagai cara memajukan aktiviti sains dan teknologi di negara itu untuk tahun-tahun akan datang.

“Ulugh Beg yang memerintah abad ke-15 yang dikenali sebagai seorang cendekiawan bidang astronomi dan matematik, membina Balai Cerap Ulugh Beg di Samarkand. Sehingga hari ini, ia diiktiraf sebagai balai cerap terbaik di dunia.

“Semua ini tidak akan berlaku tanpa penerbitan kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi thepatriots.asia.

Tidak cukup sekadar membukukan penemuan dan kajiannya, As-Sufi juga dilaporkan turut membantu dalam reka bentuk balai cerap astronomi di Shiraz, selain bertanggungjawab mencipta pelbagai peralatan seperti glob cakerawala dan astrolab.

Beliau juga menjadi individu yang bertanggungjawab dalam menjelaskan kegunaan astrolab dalam horoskop, navigasi, tinjauan, ketepatan masa, arah kiblat dan solat.

As-Sufi meninggal dunia pada 25 Mei 986 Masihi di Shiraz, Iran.

PROFIL

ILUSTRASI AS-SUFI
ILUSTRASI AS-SUFI

Nama penuh: Abd Ar-Rahman bin Umar As-Sufi Abul Husayn

Gelaran: Azophi, Azophi Arabus atau Abolfazen

Asal: Ray, Iran

Tahun kelahiran: 903 Masihi

Tahun kematian: 986 Masihi

Karya agung:

- Kitab Suwar al-Awakib

- Al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar

Sumbangan:

- Menjadi ahli astronomi pertama yang mengenal pasti Awan Magellan Besar sebagai sebuah galaksi.

- Merupakan ahli astronomi terawal merekodkan pemerhatian galaksi Andromeda pada 964 Masihi yang merupakan kejiranan galaksi Bima Sakti kita.

- Nama As-Sufi disenaraikan sebagai antara sembilan ahli astronomi Islam terbaik di dunia.

- Sebuah planet kecil dengan nombor kod 12621 dinamakan sempena namanya.