Anwar ucap tahniah kepada Ireland, Norway, Sepanyol kerana iktiraf Palestin

Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol selepas ketiga-tiga negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Foto Bernama
Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol selepas ketiga-tiga negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol selepas ketiga-tiga negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Menurut Perdana Menteri, ketiga-tiga negara itu telah memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.

"Niat murni negara-negara ini jelas terpacul saat diumumkan keputusan tersebut dan ini bukti nyata bahawa mereka memperaku hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri.

"Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua Timur Tengah," kata beliau dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Para Rabu, Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan keputusan mengiktiraf Palestin.

Pemimpin Ireland berkata, Dublin akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masanya.

Sementara itu, pemimpin Norway dan Sepanyol pula akan berbuat demikian mulai 28 Mei ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyeru negara-negara yang masih belum membuat keputusan serupa untuk memahami fakta bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Malah, usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.

"Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin," ujarnya.

Selama beberapa dekad, pengiktirafan rasmi negara Palestin dilihat sebagai pengakhiran proses damai antara Palestin dan Israel.

Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah barat sebelum ini berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin suatu hari nanti, tetapi selepas persetujuan dicapai mengenai isu-isu seperti sempadan akhir dan status Baitulmaqaddis. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!