'Saya belum berputus asa' - Azeem

Muhammad Azeem mencatatkan 10.50s dalam Kelayakan Pusingan Pertama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat pada Khamis.
Muhammad Azeem mencatatkan 10.50s dalam Kelayakan Pusingan Pertama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat pada Khamis.
A
A
A

"IA merupakan satu musim yang mengecewakan setakat ini, tetapi tidak mengapa kerana sudah pasti satu proses pembelajaran..."

Itu reaksi jaguh pecut negara dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi selepas mencatatkan 10.50 saat (s) dalam Kelayakan Pusingan Pertama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat pada Khamis.

"Saya belum berputus asa. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku selama ini, bersyukur kerana masih diberikan nikmat sihat," katanya lagi.

Catatan itu menyaksikan pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022, berada dalam kedudukan keenam pada saringan keenam mengakhiri cabaran di tempat ke-32 dalam kalangan 42 peserta.

Prestasi pemegang rekod kebangsaan dengan sentuhan 10.09s tersebut sekali gus menyaksikan beliau masih perlu menunggu untuk mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat, yang mencipta sensasi pada Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia perlu mencatatkan masa 10s untuk layak secara merit di Paris 2024.

Azeem menyasarkan untuk membuat penampilan sulung Olimpik di Paris tahun ini sebelum itu bertekad: "Saya akan buat yang terbaik dan selebihnya biar ALLAH yang tentukan, bismillah."

Pemburuan slot ke Paris 2024 yang dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos akan bersambung di Kelayakan NCAA di Eugene, Orlando dari 5 hingga 8 Jun depan.

Artikel Berkaitan:


INFO

Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek merupakan atlet negara terakhir yang beraksi dalam acara 100m di Sukan Olimpik Atalanta 1996 dan 2000 Sydney.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad pula atlet negara terakhir beraksi dalam acara 200m pada edisi Olimpik Athens 2004.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!