Pasangan kekasih mengaku salah abai bayi usia seminggu di kedai ayam

Tertuduh (kiri) semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman bagi perintah reman pada Selasa.
Tertuduh (kiri) semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman bagi perintah reman pada Selasa.
A
A
A

CHUKAI - Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka berusia tujuh hari, Sabtu lepas.

Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Berdasarkan pertuduhan kedua-dua mereka secara bersama sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas bayi itu didapati telah mengabaikan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai ayam di Jalan Air Putih di sini antara jam 7 hingga 7.15 pagi, 18 Mei lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mengikut fakta kes seorang bayi lelaki yang sudah tertanggal tali pusat dijumpai di atas lantai sebuah kedai menjual ayam dengan hanya beralaskan baju dan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira jam 7.30 pagi, Sabtu lepas.

Artikel Berkaitan:

Bayi cukup sifat seberat tiga kilogram itu dilahirkan pada 12 Mei lepas di sebuah rumah di Jabur Kubur sebelum ditinggalkan di kedai berkenaan pada 18 Mei, dan Isnin lepas pasangan kekasih itu ditahan di dua lokasi berasingan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!