Produktiviti buruh meningkat, catat RM42 per jam bekerja

Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 1.9 peratus pada suku yang sama tahun lepas. Gambar hiasan.
Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 1.9 peratus pada suku yang sama tahun lepas. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Produktiviti buruh di Malaysia mencatatkan RM42 per jam bekerja pada suku pertama 2024, meningkat 1.9 peratus berbanding RM41.2 per jam pada suku yang sama tahun lepas.

Menurut Statistik Produktiviti Buruh Malaysia Suku Pertama 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), produktiviti itu disokong oleh kedudukan ekonomi yang menggalakkan, kestabilan pasaran buruh dan kadar pengangguran yang rendah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh per pekerja mencatatkan pertumbuhan dua peratus kepada RM24,230 per pekerja pada suku pertama tahun ini berbanding RM23,744 per pekerja pada tempoh sama tahun lepas.

"Produktiviti buruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus dengan jumlah jam bekerja meningkat 2.2 peratus mencatatkan 9.5 bilion jam sejajar dengan pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus pada suku pertama 2024.

"Jumlah bilangan pekerja yang dicatatkan ialah 16.4 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 16.3 juta orang pada suku keempat tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Uzir berkata, daripada segi prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun

Ini diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian pada 2.7 peratus, sektor perkhidmatan pada 1.8 peratus, dan sektor pertanian pada 0.9 peratus manakala sektor pembuatan pula menyusut pada negatif 0.3 peratus.

"Dengan melihat kepada prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja, semua sektor menunjukkan peningkatan, diterajui oleh sektor pembinaan pada 10.7 peratus tahun ke tahun; diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian pada 5.7 peratus; sektor perkhidmatan pada 1.9 peratus; sektor pertanian pada 1.5 peratus; dan sektor pembuatan pada 0.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Enam subsektor yang menyumbang kepada pertumbuhan positif dalam produktiviti buruh per pekerja bagi sektor perkhidmatan ialah pengangkutan dan penyimpanan (8.1 peratus); hartanah dan perkhidmatan perniagaan (7.3 peratus); perkhidmatan lain (3.6 peratus); dan utiliti (3.6 peratus);

"Subsektor perdagangan borong dan runcit (1.2 peratus); maklumat dan komunikasi (0.5 peratus); manakala dua subsektor lain merosot iaitu kewangan dan insurans (negatif 1.3 peratus); serta makanan, minuman dan penginapan (negatif 0.4 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek lebih baik memandangkan ekonomi Malaysia semakin pulih.

"Momentum positif pertumbuhan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang berkembang pesat serta pengukuhan modal insan adalah antara faktor peningkatan produktiviti buruh," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!