EWF: Urus tadbir aspek pendidikan Malaysia dikagumi

Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendekatan digunakan Malaysia dalam mengurus tadbir pendidikan di pelbagai peringkat menarik minat negara lain untuk melaksanakan perkongsian kepakaran dan pengalaman, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry berkata, hasrat perkongsian itu disuarakan oleh beberapa wakil negara asing yang bertemu dengan beliau pada sesi The Education World Forum (EWF) di London, United Kingdom.

EWF berlangsung selama empat hari bermula 19 Mei lepas dan sepanjang berlangsungnya sesi EWF, Malaysia dianggap antara negara peneraju dan mempunyai perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan di peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi.

"Ada beberapa wakil negara turut datang bertemu dengan saya dan menyatakan kekaguman mereka dengan cara Malaysia mengurus tadbir pendidikan serta berharap Malaysia dapat menawarkan kepakaran dan pengalaman ini untuk membantu negara-negara lain yang memerlukan.

"Insya-ALLAH, Malaysia bersedia untuk bersama-sama memastikan agenda pendidikan diberi keutamaan di peringkat global,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada Rabu.

Dalam sidang pleno sempena EWF, Zambry berkata, beliau berkongsi strategi Malaysia dalam melaksanakan dasar pendidikan negara melalui tiga perkara iaitu peruntukan pembiayaan; perancangan strategi yang berkesan; dan mengenal pasti keutamaan.

"Pertama, saya maklumkan bahawa Malaysia antara negara yang memberi penekanan penting dalam isu pendidikan dan antara buktinya melalui peruntukan belanjawan untuk sektor pendidikan sebanyak 19 peratus daripada keseluruhan bajet negara pada 2024.

"Pada masa sama, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan pendidikan daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai aspek strategi, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan beberapa fokus untuk diberi perhatian bagi menghasilkan impak bukan sahaja kepada warga pendidikan malah kepada masyarakat dan negara.

Lima strategi yang diberi perhatian termasuk bakat berkualiti tinggi; penyelidikan dan inovasi yang berkesan; pemindahan ilmu kepada masyarakat; pengantarabangsaan globalisasi; dan urus tadbir infrastruktur berkualiti.

Dalam memastikan pencapaian fokus strategi itu, beberapa tindakan diberi keutamaan antaranya mengadakan libat urus dengan kepimpinan universiti dan setiap pelaksanaan serta prestasi tindakan akan dipantau serta dilaporkan.

"Satu perkara penting yang saya kongsikan bersama rakan-rakan sidang pleno EWF ini adalah pentingnya kerjasama antara satu sama lain dan bergerak dalam pasukan untuk memastikan pendidikan pemangkin perubahan generasi masa hadapan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!