SKM agih sumbangan RM100 juta tahun 2019

Nordin (dua dari kiri) mengagihkan barangan makanan harian kepada penerima di Pulau Sri Tanjung, Tumpat semalam.
Nordin (dua dari kiri) mengagihkan barangan makanan harian kepada penerima di Pulau Sri Tanjung, Tumpat semalam.
A
A
A

TUMPAT - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengagihkan sumbangan sebanyak RM100 juta pada 2019 kepada ahli dan orang ramai dalam pelbagai bentuk hasil perolehan daripada 14,603 koperasi yang berdaftar di bawah SKM.

Pengerusinya, Datuk Nordin Salleh berkata, sumbangan tersebut dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan pengajian, pembinaan rumah, agihan zakat, tabung kecemasan atau kesihatan.

"Pencapaian gerakan koperasi tidak boleh diukur dalam bentuk perolehan semata-mata, malah ia perlu dipulangkan kepada ahli dan masyarakat.

"Jika diukur melalui sumbangan, ia hanya menyumbang sebanyak satu peratus, namun ahli dan masyarakat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh koperasi mereka dalam bentuk tabungan yang sukar untuk diukur dalam bentuk nilai,” katanya kepada pemberita di Pulau Sri Tanjung di sini semalam.

Terdahulu, Nordin menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas daripada gerakan koperasi kepada seramai 60 penerima.

Beliau berkata, agihan bantuan itu adalah salah satu bentuk tanggungjawab sosial (CSR) pihaknya kepada masyarakat.

"Sehingga kini kami telah menjelajah ke seluruh negara untuk menjalankan program CSR sebanyak yang mungkin dan memberi penjelasan mengenai peranan koperasi sebagai gerakan ekonomi rakyat.

"Sehingga 31 Disember 2019, kami mempunyai seramai 6.5 juta ahli di seluruh negara dengan perolehan dicatatkan sebanyak RM42.85 bilion,” katanya.

Artikel Berkaitan: