Terjemah mesej PM kepada rakyat supaya mereka lebih faham - Manivanan

Manivanan (tengah, baju merah) mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan pemimpin masyarakat Negeri Sembilan ketika mengadakan lawatan kerja di sana.
Manivanan (tengah, baju merah) mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan pemimpin masyarakat Negeri Sembilan ketika mengadakan lawatan kerja di sana.
A
A
A

SEREMBAN - Pimpinan akar umbi setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, ia supaya rakyat memahami rasional di sebalik setiap inisiatif yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan.

"Pada masa sama, pimpinan akar umbi dan jentera parti perlu terus menyantuni dan membantu mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi.

“Pendekatan yang telah, sedang dan bakal diambil Kerajaan Perpaduan bukan bersifat populis kerana fokus utama pimpinan negara adalah untuk memastikan ekonomi negara ini bertambah baik dan rakyat mampu hidup dalam keadaan selamat dan makmur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lawatan kerja tiga harinya ke Negeri Sembilan, Manivanan berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima di peringkat akar umbi, mereka amat berharap agar langkah drastik diambil bagi membantu rakyat menghadapi bebanan akibat peningkatan kos sara hidup.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberikan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan memperkukuh ekonomi dan membantu rakyat melalui pelbagai langkah yang diumumkan Perdana Menteri.

"Langkah berani Kerajaan Madani adalah menangani rasuah, mengatasi ketirisan dan memperkenalkan subsidi bersasar telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan berdasarkan petunjuk ekonomi yang positif dan peningkatan bantuan untuk rakyat.

"Sehubungan itu, semua pihak perlu yakin dan terus menyokong segala usaha yang diambil kerajaan untuk terus memperkukuhkan ekonomi negara serta membantu rakyat berhadapan kos sara hidup yang kian meningkat bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, beliau berkata, agensi terbabit perlu meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan manakala agensi penguatkuasaan pula perlu meningkatkan pemantauan.

Jelasnya, ia bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan atau mengganggu gugat keamanan melalui penyebaran fitnah.

“Orang ramai juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan menjadi mata dan telinga pihak berwajib dan segera melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang boleh menyebabkan ketirisan dan kerugian kepada negara dan rakyat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!